Pelatih PKBN solat bersama menteri

Pelatih PKBN solat bersama menteri

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Menunaikan solat fardu berjemaah menjadi satu kemestian bagi para pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) beragama Islam, yang bukan sahaja memberi kesedaran daripada aspek kerohanian, malahan dapat menyemai sifat persaudaraan sesama mereka.

Menunaikan solat fardu berjemaah juga adalah daripada Komponen Jati Diri dan Kenegaraan (berbentuk pendidikan perkembangan diri melalui aktiviti berkumpulan dan taklimat).

Sehubungan dengan itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berserta rombongan telah menunaikan solat fardu Subuh berjemaah bersama para pelatih, pegawai, penyelia, jurulatih dan kakitangan PKBN Pengambilan ke-5 di Masjid Kampung Pulaie.

Selesai berjemaah, Yang Berhormat Pehin berserta rombongan bertolak ke Kem Latihan Sementara PKBN di Perkampungan Sukan, Berakas, bagi meninjau perkembangan para pelatih PKBN Pengambilan ke-5.

Ketibaan Yang Berhormat Pehin awal pagi tadi, telah dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin POKSM Dato Seri Paduka Haji Abidin, Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad, Pengarah PKBN, Kolonel (B) Pengiran Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail, Komandan Kem Latihan PKBN, Mejar (B) Mohammad bin Dollah, serta pegawai-pegawai kanan di KKBS.

Pelatih PKBN bersalaman dengan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Pelatih PKBN bersalaman dengan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Pelatih PKBN mengaminkan doa selepas solat berjemaah.
Pelatih PKBN mengaminkan doa selepas solat berjemaah.

Yang Berhormat Pehin telah dibawa untuk menyaksikan Upacara Menaikkan Bendera dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan,’ pembacaan ikrar, sorak PKBN dan lagu ‘Sedia Berbakti’ serta bacaan doa. Majlis diteruskan dengan Sesi Latihan Jasmani Pagi oleh para pelatih pengambilan ke-5.

Setelah itu, Yang Berhormat Pehin telah dibawa ke dewan makan bagi sarapan pagi serta sesi perjumpaan dan ramah mesra dengan para pelatih bagi melihat perkembangan dan kemajuan setiap pelatih yang mengikuti program berkenaan.

Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan memberi kata nasihat dan ucapan tahniah kepada para pelatih pengambilan ke-5 berkenaan kerana telah dapat melalui latihan mereka dengan penuh bersemangat dan cekal serta mengucapkan terima kasih kepada para pegawai, penyelia dan jurulatih atas kegigihan mereka melatih dan mendidik para pelatih PKBN.

PKBN merupakan program yang bertujuan untuk membentuk belia menjadi berdisiplin dan berwawasan yang cintakan raja, agama, negara, orang tua, masyarakat, jiran tetangga dan sahabat mereka. Para belia juga hendaklah bersedia menyingsing tangan dalam menghulurkan bantuan dan tenaga kepada masyarakat dengan penuh keprihatinan.

ARTIKEL YANG SAMA