Pelatih PPB tawar pelbagai produk

Pelatih PPB tawar pelbagai produk

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Hari Keusahawanan Pusat Pembangunan Belia (PPB) 2016 menawarkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh pelatih pusat berkenaan yang boleh diperolehi daripada harga serendah seringgit.

Dalam tinjauan Media Permata ke pusat berkenaan hari ini mendapati pelbagai barangan yang dihasilkan oleh pelatih pusat mengikut jurusan yang diikuti seperti masakan, komputer, jahitan dan baik pulih kenderaan, kursus asas pemasangan paip dan lainnya.

Dayang Nastalina Nadi binti Arman Shah, pelatih kursus Pastri yang mengetuai Vanilla Bakery dalam Hari Keusahawanan tersebut ketika ditemui menjelaskan, pelatih dalam kursus Pastri menawarkan pelbagai jenis kek dan kuih yang boleh didapati dengan harga serendah seringgit.

“Hari Keusahawanan bagi pelatih pengambilan Januari 2016 hingga Jun 2016 ini memberi peluang kepada pelatih untuk lebih berani seterusnya mempromosi hasil produk kepada orang ramai.

“Di samping itu, pelatih dapat mempraktikkan ilmu-ilmu keusahawanan yang dipelajari sambil meningkatkan usaha dalam menghasilkan produk-produk yang bermutu tinggi untuk diniagakan seterusnya berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan keusahawanan sekaligus merealisasikan visi dan misi PPB,” katanya.

Dayang Nastalina Nadi bersama para pelajar lain pada minggu keusahawanan.
Dayang Nastalina Nadi bersama para pelajar lain pada minggu keusahawanan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Dayang Kamsiah binti Bidin ketika ditemui berkata, aktiviti anjuran PPB ini sesuai untuk memberi pendedahan kepada pelatih untuk melihat sejauh mana kemampuan dan hasil yang mereka perolehi semasa mengikut kursus di pusat ini.

“Selain itu, memberi peluang kepada pelatih untuk tampil di khalayak ramai seterusnya menjadikan kemahiran mereka ini sebagai sumber rezeki setelah menamatkan kursus nanti,” tambahnya lagi.

Hari Keusahawanan Pusat Pembangunan Belia dibuka untuk kunjungan orang ramai sehingga 16 Mei 2016 dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

ARTIKEL YANG SAMA