Pelatih Pusat Bahagia dirai

Pelatih Pusat Bahagia dirai

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Pelatih-pelatih Pusat Bahagia di keempat-empat daerah dan residen Kompleks Rumah Kebajikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini, diraikan dalam Majlis Silaturahim Di Bulan Syawal yang berlangsung di di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Turut hadir ke majlis bersempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 itu bagi sama-sama meraikan dan merapatkan hubungan silaturahim bersama para pelatih dan residen Kompleks Rumah Kebajikan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Hadir sama ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad, ketua-ketua jabatan, para pengarah dan pegawai kanan di KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi selaku tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi selaku tetamu kehormat majlis.
Antara jemputan khas yang turut menghadiri majlis itu.
Antara jemputan khas yang turut menghadiri majlis itu.

Majlis berkenaan telah diserikan dengan beberapa persembahan oleh pelatih-pelatih Pusat Bahagia serta residen Kompleks Rumah Kebajikan, di samping Yang Berhormat Pehin dan datin juga berkesempatan untuk beramah mesra bersama para pelatih serta para ibu bapa dan penjaga yang hadir pada majlis itu.

Antara tujuan majlis diadakan adalah untuk memberikan kesempatan kepada para pelatih Pusat Bahagia dan residen Kompleks Rumah Kebajikan serta keluarga mereka beramah mesra bersama warga KKBS dan pihak-pihak yang berkepentingan dalam suasana Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan, serta meningkatkan penglibatan bersama masyarakat. Ia merupakan aktiviti tahunan anjuran KKBS yang dikelolakan oleh JAPEM.

ARTIKEL YANG SAMA