Pelatih tinjau Destinasi Tutong

Pelatih tinjau Destinasi Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 24 Feb – Seramai 146 orang pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-5 yang terdiri daripada platun 1 hingga 4 telah menyertai Program Aktiviti PKBN ke Daerah Tutong, pagi tadi.

Rombongan PKBN diketuai oleh Timbalan Komandan Kem, Mejar (B) Mohd Talip bin Mohd Tahir dan disertai oleh 14 orang pegawai kem latihan serta penyelia program.

Ketibaan para pelatih PKBN di Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong telah dialu-alukan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas, Dayang Siti Joriahati binti Johari selaku Ketua Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong, dan Ketua Pegawai Eksekutif Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali bersama beberapa orang ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dan ahli-ahli Sukarelawan Daerah Tutong.

Beberapa atur cara telah pun disediakan oleh Pihak Jabatan Daerah Tutong melalui Bahagian Korporat dengan kerjasama pihak Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, antaranya mendengar taklimat ringkas mengenai fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong dalam konsep ‘Membangun Bersama Masyarakat’ yang disampaikan oleh Dayang Siti Joriahati.

Manakala itu, Awang Muhammad Amir memberikan penerangan ringkas tentang program dan aktiviti Destinasi Tutong.

Pelatih-pelatih PKBN Platun 4 bergambar ramai di Mercu Tanda Daerah Tutong.
Pelatih-pelatih PKBN Platun 4 bergambar ramai di Mercu Tanda Daerah Tutong.

Selepas taklimat, setiap platun telah dibawa melawat ke beberapa lokasi Destinasi Tutong seperti Mercu Tanda Daerah Tutong dan Galeri 1K1P Daerah Tutong, Pekan Tutong, Tantangan Persiaran Sungai Tutong, Taman Rekreasi Sungai Basong dan Pantai Seri Kenangan serta Jeti Sungai Tutong.

Menerusi lawatan tersebut, para pelatih diberikan peluang untuk berkongsi idea dan pendapat mengikut kemahiran dan kebolehan berfikir masing-masing dalam membuat keputusan dan menghasilkan satu pembentangan praktikal dalam tempoh masa yang singkat, dengan kelengkapan terhad.

Acara yang dikenali sebagai Program Pejabat Daerah ini merupakan salah satu program yang telah diaturkan dalam jadual latihan PKBN Pengambilan ke-5 oleh pihak Urus Setia PKBN dengan kerjasama pihak Jabatan Daerah Tutong selaku Pengendali Program tersebut yang berlangsung selama dua hari iaitu hari ini dan esok.

Dalam program esok, ia akan disertai seramai 146 orang lagi pelatih dari Platun 5 hingga 8.

Aktiviti Destinasi Tutong yang didedahkan kepada para pelatih PKBN ini bertujuan untuk menjadikan bahan pembentangan para pelatih sebagai sumber atau sukat-sukat bagi meningkatkan keupayaan dan perkhidmatan khususnya dalam memajukan Daerah Tutong sebagai daerah yang maju dan berpotensi sebagai Daerah Destinasi.

Di samping itu, aktiviti itu juga akan dapat memupuk rasa tanggungjawab para pelatih PKBN akan pentingnya peranan mereka di dalam sama-sama menyumbang tenaga, fikiran dan ilmu untuk memajukan Negara Brunei Darussalam selaras dengan matlamat PKBN.