Pelaut diminta jauhi kawasan pemasangan saluran paip

Pelaut diminta jauhi kawasan pemasangan saluran paip

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Para pelaut dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak memasuki kawasan yang ditetapkan semasa kerja-kerja bagi kemudahan fasiliti di permukaan dan aktiviti pemasangan saluran paip dijalankan bermula 3 Julai hingga 30 September nanti.

Jabatan Laut dalam satu kenyataannya, hari ini, berkata, kerja-kerja pemasangan itu akan dijalankan di sekitar kawasan Total E&P Borneo (TEPB) – Blok B – Maharaja Lela Jamalulalam 3.

Kerja-kerja itu akan dilaksanakan oleh Syarikat TEPB, Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan Kapal S3000.

Menurut Jabatan Laut, dari awal Julai sehingga akhir September, TEPB telah pun memberi kontrak kepada Sapura Acergy untuk melaksanakan pemasangan pelantar baru iaitu MLJ3 dan pemasangan saluran pelantar baru itu serta pemasangan saluran paip yang bersambung-sambung.

Dalam tempoh itu, segala aktiviti marin yang tidak berhubung kait dengan aktiviti TEPB hendaklah sentiasa mengekalkan jarak 1,00 meter di luar zon yang dinyatakan di antara pelantar MLJ1, MJL2 dan MJL3 dan di lokasi pemasangan paip.

Kenyataan itu menyatakan, zon keselamatan sementara itu akan dironda untuk menghindarkan mana-mana kapal yang tidak dibenarkan untuk memasuki ke kawasan zon keselamatan, sementara itu, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang memasuki zon tersebut tanpa kebenaran.

Pada masa yang sama, amaran Radio Navigasi juga akan disiarkan oleh Kapal S3000.

Sehubungan itu, pelaut-pelaut terutamanya kepada para nelayan tempatan disarankan supaya tidak memasuki ataupun berlabuh di mana-mana lokasi serta di sekeliling perairannya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Para pelaut juga diingatkan dan dikehendaki untuk menjauhi zon kawasan kerja 1,000m dan apabila berada di sekitar kawasan tapak kerja para pelaut dinasihatkan untuk mengekalkan langkah waspada serta lebih berhati-hati apabila belayar di kawasan tersebut, serta sentiasa peka siaran daripada marin VHF saluran 16.

Pihak Syarikat TEBP, Negara Brunei Darussalam akan sentiasa memantau perjalanan operasi itu dan Peta laut yang terlibat ialah BA 2109.