Pelaut dinasihatkan berhati-hati

Pelaut dinasihatkan berhati-hati

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan mengingatkan para pelaut supaya terus berhati-hati semasa melayari kawasan Kota Batu, Terusan Brunei dan Terusan Timur, berikutan kerja-kerja mencerucuk bagi Projek Jambatan Brunei-Muara Temburong yang sedang dijalankan di kawasan-kawasan berkenaan bermula sejak 15 Disember lalu hingga 13 November 2017.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kerja-kerja berkenaan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan menerusi Syarikat Daelim-Swee J.V Sdn Bhd itu akan menyebabkan pembatasan kepada keselamatan pelayaran sepanjang tarikh berkenaan dengan kapal-kapal yang terlibat ialah Cathay 3 (Call Sign: Boat 1), CSF 2305 (Call Sign: Barge 1) dan Intan 1807 (Call Sign: Barge 2).

Kerja-kerja yang dilaksanakan itu termasuklah pemasangan tungkup keluli, ekskavasi (hammer grab dan R.C.D Machine), pemasangan pagar besi, menuang simen konkrit dan ujian integriti cerucuk.

Setiap cerucuk akan ditandakan dengan lampu tanda-tanda pelayaran laut, sifat lampu yang berwarna kuning dan papan tanda terapung.

Sehubungan dengan itu, para pelaut diingatkan untuk berhati-hati dan menjauhkan diri dalam jarak yang selamat iaitu 100 meter daripada operasi berkenaan serta mengamalkan sikap kepelautan yang terbaik ketika berada di dalam kawasan tersebut.

Pihak JKR menerusi Syarikat Daelim-Swee J.V Sdn Bhd juga akan sentiasa memantau perjalanan operasi berkenaan.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi pengurus tapak melalui talian +673 7193566, pengurus HSE melalui talian +6738778211, pengurus pembinaan melalui talian +673 7181950, pengurus PIC di talian +673 8779389, penyelaras perhubungan dengan Jabatan Laut di talian +673 8738690 atau pejabat di talian +673 2771972.

ARTIKEL YANG SAMA