Pelawaan sertai program ALFP

Pelawaan sertai program ALFP

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – The International House of Japan dan Japan Foundation (Tokyo, Jepun) mempelawa rakyat dari negara dan rantau Timur Laut, Tenggara dan Asia Selatan untuk membuat permohonan bagi Program Fellow (Zamalah) Pemimpin Asia (ALFP) 2016 yang akan diadakan dari 5 September hingga 28 Oktober 2016 di Tokyo, Jepun.

Program tersebut dilancarkan pada 1996 dengan tujuan mewujudkan rangkaian intelektual awam yang erat, peribadi dan profesional di Asia, yang komited kepada masyarakat awam di luar latar belakang kebudayaan, disiplin dan geopolitik mereka sendiri.

Sekretariat ALFP dalam satu kenyataan berkata, setakat ini, lebih 100 fellow dari 17 negara Asia dengan pelbagai latar belakang kebudayaan dan profesional telah mengambil bahagian.

Tema untuk 2016 adalah ‘Mencapai Kesamaan di Asia: Bagaimana Kami Boleh Mewujudkan Wawasan untuk Masa Depan?’ Di bawah program tersebut, sembilan fellow terpilih daripada pelbagai latar belakang berkumpul di Tokyo dan bertukar-tukar idea di kalangan fellow dan rakan sejawatan daripada bidang berlainan di Jepun.

Warga Brunei yang berminat dalam lingkungan umur 35 hingga 59 tahun digalakkan untuk memohon secara terus kepada Urus Setia ALFP selewat-lewatnya pada Jumaat, 25 Disember 2015. Pemohon harus memiliki rekod cemerlang dalam bidang mereka sendiri, kepimpinan, kemahiran Bahasa Inggeris yang mencukupi untuk membincang serta fikiran kritis terhadap tema. Maklumat terperinci mengenai program dan borang permohonan boleh dimuat turun di http://alfpnetwork.net/en/fellow2/

ARTIKEL YANG SAMA