‘Pelayan jalanan elegan’ di Brazil jadi tumpuan ramai

AILTON Manuel da Silva bukan sekadar seorang pelayan semata-mata. Dia berdandan dan berpakaian kemas dengan membawa dulang yang dipenuhi minuman sejuk dan snek ringan.

Dia tidak berada di sebuah restoran mahupun sebuah kafe, malah dia bekerja di jalanan, sanggup berpanas dan menghadapi kesesakan lalu lintas bagi menyara kehidupan keluarganya. Dia adalah seorang ‘pelayan jalanan’ di Recife, dan mungkin juga sebagai penjual jalanan yang paling elegan di dunia.

Setiap jam 5 pagi, Ailton Manuel da Silva, 43, akan bangun, memakai seluar kemas, berbaju putih, bertali leher dan berkasut kilat, kemudian pergi untuk bekerja. Dia sampai di sebuah persimpangan yang sangat sibuk di Avenida Almirante Dias Fernandes dan Rua Emiliano Ribeiro pada jam 5:30 pagi dan bersiap sedia berada di jalan raya sepanjang hari.

Dia mempersiapkan minuman botol sejuk, tin soda dan makanan ringan seperti bertih jagung dan snek kentang, tersusun rapi pada dulang logamnya dan pada pukul 7 pagi dia mula berjaja di jalan raya dengan menawarkan pelbagai jenis minuman dan snek kepada para pemandu.

Ailton telah bekerja sebagai seorang pelayan jalanan selama dua tahun. Kesemua ini bermula pada Januari 2015, apabila dia kehilangan pekerjaannya sebagai seorang pekerja pelarik. Pekerjaan barunya itu mampu menyara isteri dan tiga orang anaknya.

Matahari adalah musuh sebenar Ailton oleh kerana bahang panas yang perlu dihadapinya.
Dia mampu memperolehi sekitar 400 Reais Brazil (AS$121) sehari.

Bosan menunggu peluang pekerjaan lain menyusul, dia yang berusia 43 tahun itu memutuskan untuk mencuba nasibnya sebagai seorang penjual jalanan di sebuah persimpangan berhampiran rumahnya di Recife, negeri Pernambuco, Brazil. Dia tahu ia adalah sukar, namun dia tidak menyangka orang ramai akan terlalu prejudis terhadap peniaga jalanan ini.

Berpakaian cemeh, berseluar pendek dan berselipar, da Silva gagal meyakinkan para pemandu di sana sepanjang hari, dan kebanyakkan daripada mereka itu tidak menurunkan tingkap kereta mereka oleh kerana takut diganggu. Namun dia tidak membiarkan pengalaman negatif memburunya, sebaliknya dia memutuskan untuk mencubanya sekali lagi dengan satu gaya yang berlainan dan bermaruah. Dia cuba menukar pakaiannya dengan pakaian kasual yang elegan, seluar pendek ditukar dengan seluar panjang kemas, selipar ditukar kepada kasut hitam, kemudian ditambah dengan tali leher hitam dan topi kepala bagi melindunginya dari panas terik matahari. Sikap orang ramai mula berubah secara radikal dan dia kini mempunyai wang yang cukup untuk menyara keluarganya, bahkan juga dia mampu membiayai isterinya untuk belajar di kolej.

Ailton bertindak tangkas dan cepat dan dia tidak keberatan untuk melakukan pekerjaan itu. Dia menyatakan bahawa selepas kira-kira 10 pagi, keadaan semakin sukar apabila musuh terbesarnya iaitu matahari mula muncul dan bahang panasnya kian terasa. Dia cuba minum air sebanyak yang mungkin untuk mengekalkan dirinya sentiasa terhidrasi. Peluh mula membasahi dirinya.

Berpakaian lengan dan berseluar panjang memang ada keburukannya semasa cuaca panas, dan dia juga akan cepat letih. Sejak dari itu, isterinya cuba memberitahunya mengenai kanser kulit dan menyarankan supaya suaminya itu sentiasi dilindungi dari pancaran matahari dan menggunakan krim pelindung matahari.

Ailton Manuel da Silva adalah seorang ‘pelayan jalanan’ di Recife, dan mungkin juga sebagai penjual jalanan yang paling elegan di dunia.
Ailton telah bekerja sebagai seorang pelayan jalanan selama dua tahun. Kesemua ini bermula pada Januari 2015, apabila dia kehilangan pekerjaannya sebagai seorang pekerja pelarik.

Selama dua tahun yang lalu, pelayan jalanan itu telah menjadi selebriti tempatan di kawasan kejiranannya, dan telah menarik perhatian pesaingnya yang iri hati. Genilson Luiz, yang memiliki restoran layan diri berhampiran tempat kebiasaan Ailton, memberitahu Diario Pernambuco bahawa dia sering mendengar pertengkaran antara penjual jalanan yang lain bagaimana pelayan jalanan itu memonopoli kawasan tersebut dan menghalau mereka dari sana.

“Mereka tidak pernah bertengkar secara fizikal dengannya, tetapi kami perlu memberi amaran kepada vendor jalanan lainnya untuk membiarkan Ailton bersendirian, menjelaskan bahawa sikap dan cara jualan Ailton telah menawan hati para pelanggannya,” kata Luiz. “Dia selalu melayan orang ramai dengan ramah dan hormat sehingga para pemandu mencari-cari keberadaannya untuk membeli jualannya itu.”

Pada waktu bekerja, dia akan menamatkan jualannya itu jam pukul 5:30 petang, dan mampu memperolehi sekitar 400 Reais Brazil (AS$121). Ia sangat mencukupi buatnya, namun Ailton berharap bahawa dia akan dapat mengikuti jejak isterinya dan mendapatkan pendidikan kolej, bagi meningkatkan lagi peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan baru yang sebenar, dan juga dapat membuka kedainya sendiri.

Jika cita-cita dan strategi pemasaran lelaki ini tidak mencukupi untuk memberi gambaran kepada anda, mungkin anda perlu mengagumi kemurahan hatinya. Setiap bulan, peniaga jalanan ini akan menyimpan duit penghasilannya ini untuk membeli makanan, produk kebersihan diri dan tilam untuk rumah persaraan Jesus de Nazaré di bandar di mana dia dibesarkan.

“Saya tidak banyak membiayai untuk diri saya, tetapi ianya mencukupi untuk diri saya,” kata da Silva kepada pemberita. “Selagi saya dapat membantu orang-orang yang memerlukan daripada saya, saya akan terus membantu mereka.”