Pelayaran penuh cabaran ke Hong Kong

Pelayaran penuh cabaran ke Hong Kong

Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Abdul Jalil bin Haji Ahmad

 

SATU pengalaman yang tidak mungkin dapat saya lupakan adalah apabila Kapal Diraja Brunei (KDB) WASPADA dan KDB PEJUANG membuat ‘Operational Visit’ ke Hong Kong pada tahun 1982. Ikut serta di kapal KDB WASPADA ialah Mejar Charles Howeson selaku Pemerintah Skuadron dan Pegawai Pemerintah KDB WASPADA. Sementara KDB PEJUANG pula adalah di bawah perintah Mejar Mohd Shahri bin Haji Mohd Ali.

Mejar Charles Howeson, selain sebagai Pegawai Pemerintah Kapal KDB WASPADA, beliau juga adalah sebagai seorang teman saya. Saya mendapati Pegawai Pinjaman British ini seorang pegawai yang profesional dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pegawai kanan dari Tentera Laut Diraja British. Sebagai seorang pegawai Inggeris saya perhatikan beliau begitu serius memberi perhatian terhadap anak-anak buah kapal terutama dalam bidang kebajikan. Tidaklah saya hairan mengapa anak-anak buah kapal sangat suka dan menghormati kepada beliau.

Dari aspek profesional pula, pengalaman bertugas bersama beliau adalah yang terbaik. Saya dan pegawai-pegawai tempatan di Angkatan Laut Pertama banyak belajar melalui pengalaman-pengalaman beliau terutama dalam bidang ketenteraan laut. Ini tidaklah dapat saya sangkalkan sama sekali.

Mejar Charles Howeson berkelulusan PWO yang bermaksud ‘Principal Warefare Officer’, yang membolehkan beliau bertugas di atas kapal perang ‘Frigate’ sebagai Pegawai Peperangan. Beliau juga berkelulusan PSC, iaitu ‘Passed Staff College’. Pada kelazimannya, dalam pekhidmatan Tentera Laut Diraja British dengan kelulusan PWO dan PSC ini akan membolehkan pegawai berkenaan menjawat Pegawai Pemerintah kapal-kapal perang jenis ‘Frigate’ ke atas. Jawatan saya ketika itu ialah sebagai Penolong Pegawai Pemerintah KDB WASPADA.

Meninggalkan Teluk Manila untuk belayar menuju ke Hong Kong, moral anak-anak buah kapal adalah di tahap yang tinggi, kerana mereka telah mendapat peluang beristirehat semasa berada di Manila, Filipina.

KDB PEJUANG.
KDB PEJUANG.
KDB WASPADA.
KDB WASPADA.

Taufan dan mabuk laut

Di sepanjang pelayaran menuju Hong Kong kami menghadapi cuaca buruk akibat taufan yang ketika itu melanda Laut China Selatan. Dengan tiupan angin yang kencang serta pukulan ombak yang begitu kuat di mana keadaan dasar laut menjadi keputih-putihan.

Dalam keadaan cuaca yang kurang mengizinkan itu moral anak-anak buah kapal turun dengan begitu cepat sekali. Di sinilah para pegawai perlu memainkan peranan mereka untuk mempertahankan moral anggota-anggota mereka pada tahap yang dihasratkan.

Pada pengalaman saya, tugas-tugas ini tidaklah semudah yang dijangkakan dan ia memerlukan psikologi dan kesabaran. Berbagai-bagai rancangan diatur untuk anak-anak buah kapal bagi mengelakkan rasa bosan dan menghiburkan agar mereka dapat melupakan rasa mabuk laut dengan mengadakan berbagai-bagai peraduan seperti kuiz dan berpantun antara kapal-kapal dan seumpamanya. Pertandingan bermain layang-layang terpaksa dibatalkan kerana cuaca yang tidak mengizinkan.

Setelah satu pertiga dalam pelayaran, Mejar Charles Howeson hampir saja mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Pangkalan Angkatan Tentera Laut Amerika, di Subic Bay. Bagaimanapun setelah bermuzakarah bersama Pegawai Pemerintah KDB PEJUANG maka kami pun nekad untuk meneruskan pelayaran.

Selama dua hari saya tidak makan disebabkan cuaca buruk dan mabuk laut. Walaupun dalam keadaan sebegini tanggungjawab tetap dilaksanakan. Petugas-Petugas memegang ‘wheel’ atau kemudi dan ‘Lookout’ hanya bertugas setiap 30 minit dan selepas itu mereka diarah untuk berehat.

Pemeriksaan terhadap kapal dilakukan oleh pegawai dan ahli-ahli teknikal juga sering diadakan, supaya kerosakan pada struktur kapal dapat dikesan awal dan tindakan Kawalan Kerosakan (Damage Control) dapat dilakukan dengan segera.

Penulis, Mejar Abdul Jalil ketika menjalani operasi ke Hong Kong itu.
Penulis, Mejar Abdul Jalil ketika menjalani operasi ke Hong Kong itu.
Mejar Charles Howeson selaku Pemerintah Skuadron dan Pegawai Pemerintah KDB WASPADA pada ketika itu.
Mejar Charles Howeson selaku Pemerintah Skuadron dan Pegawai Pemerintah KDB WASPADA pada ketika itu.
Mejar Mohd Shahri bin Hj Mohd Ali selaku Pemerintah KDB PEJUANG dalam operasi tersebut.
Mejar Mohd Shahri bin Hj Mohd Ali selaku Pemerintah KDB PEJUANG dalam operasi tersebut.

Cuaca hanya beransur baik apabila kami mula memasuki pelabuhan Hong Kong. KDB WASPADA dan KDB PEJUANG telah selamat merapat di HMS TAMAR, Pengkalan Tentera Laut Diraja British. Saya memerhatikan Mejar Charles Howeson memandu kapal masuk ke pelabuhan Hong Kong dengan begitu profesional dan yakin kerana keadaan ‘navigation’ di sekitar pelabuhan Hong Kong adalah sentiasa sibuk dan tidak mudah.

Saya difahamkan yang Mejar Charles Howeson pernah bertugas dengan ‘Minesweeper Squadron Hong Kong’ dari itu tidak hairanlah yang beliau mempunyai pengetahuan umum (local knowledge) yang baik terhadap kawasan di persekitaran perairan Hong Kong.

Setelah dipukul ombak yang kuat di sepanjang pelayaran dari Teluk Filipina ke Hong Kong saya kira para pegawai dan anak-anak buah kapal layak untuk berehat dengan secukup-cukupnya sebelum memulakan pelayaran balik ke Selatan Filipina iaitu pelabuhan Iloilo.

Semasa di Hong Kong pegawai-pegawai dan anak-anak buah kapal yang beragama Islam mendirikan sembahyang Sunat Hajat agar KDB WASPADA dan KDB PEJUANG berserta anak-anak buah kapal selamat dalam pelayaran balik nanti. Perkara seumpama ini lazim kita lakukan. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana permohonan kami ditunaikan oleh Allah yang menentukan segala-galanya, semasa pelayaran balik ke negara kita keadaan laut adalah tenang. Saya melihat tanda gembira dan senyum riang anak-anak buah kapal dan semangat sentiasa berada di tahap yang tinggi.

Pelayaran kami dari Teluk Manila menuju ke Hong Kong adalah satu-satunya pengalaman yang sangat-sangat mencabar bagi diri saya. Sudah tentu ia tidak akan mudah untuk dilupakan.

Tinggi rendah moral anggota terletak sepenuhnya kepada Pegawai Pemerintah dan pegawai-pegawai atasan. Sebagai seorang pegawai, memainkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan tahap moral yang dihasratkan dan janganlah cepat untuk mengalah!

(Penulis adalah bekas Pemerintah Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei)

ARTIKEL YANG SAMA