Pelbagai acara menarik hari kedua pameran Islam Oman

Pelbagai acara menarik hari kedua pameran Islam Oman

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Pameran Kefahaman Toleransi dan Hidup Bersama: Mesej Oman Tentang Islam yang memasuki hari kedua, hari ini, di Pusat Keseniaan, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah diisikan dengan persembahan kebudayaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung pada sebelah petang itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Majlis turut dimeriahkan dengan pertunjukan melukis Seni Pasir oleh Shayma Ahmed Mohammed AI-Mughairy dan diteruskan dengan persembahan Nasyid oleh Anwar Salim Hamod Al-Asmi.

Kemudian, majlis diserikan dengan persembahan Dikir Sharafil Anam yang dibawakan oleh belia-belia Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.

Sementara itu, pada sebelah pagi tadi, acara telah diisikan dengan sesi ceramah bertajuk Islam in Oman for Common Ground with Shared Values yang disampaikan oleh Dr. Abdulla Said Khalfan Al Mamari yang merupakan wakil Penasihat Menteri Hal Ehwal Awqaf dan Hal Ehwal Ugama, Kesultanan Oman.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi mendengarkan ceramah berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid dalam ucapan alu-aluannya selaku Timbalan Pengerusi bersama jawatankuasa kerja pameran berkenaan di Negara Brunei Darussalam menjelaskan bahawa ceramah tersebut menyentuh beberapa topik utama termasuk kefahaman tentang sejarah kewujudan bersama (coexistence) di Oman, kebaikan rakyat Oman, serta unsur-unsur yang diperlukan untuk mencapai kewujudan bersama.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.
Dr. Abdulla Said Khalfan ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk ‘Islam in Oman for Common Ground with Shared Values’.
Dr. Abdulla Said Khalfan ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk ‘Islam in Oman for Common Ground with Shared Values’.

“Sebagai manusia, nilai-nilai lazim adalah yang membawa kita bersama-sama. Walaupun Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman adalah dua buah negara yang berbeza bahasa dan berbeza budaya, tetapi kita berkongsi nilai yang sama, nilai Islam sebagai Ad-Diin, yang merupakan cara hidup yang lengkap,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Abdulla Said Khalfan dalam ceramahnya telah menjelaskan bagaimana rakyat Oman pada mulanya memeluk agama Islam. Menurut beliau, Oman telah menerima kedatangan Islam dengan hati yang terbuka dan secara aman tanpa sebarang paksaan pada tahun keenam dalam Tahun Hijrah.

Beliau juga menjelaskan bahawa situasi penyebaran Islam di Oman sama seperti penyebarannya di Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam tanpa sebarang paksaan.

“Ini adalah bukti bahawa penyebaran Islam bukanlah secara paksaan atau menggunakan pedang atau mengadakan peperangan. Bukan seperti yang dinyatakan di media yang menyatakan sebaliknya.

“Di sini (Asia Tenggara), kita dapat lihat bahawa masyarakat kekal memilih Islam sebagai pegangan hidupnya, percaya akan Islam, mengamalkan Islam, walaupun setelah beberapa ratus tahun dahulu sejak penyebarannya,” jelas Dr. Abdulla Said Khalfan lagi.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari, hingga esok itu, merupakan program yang telah dipersembahkan di lebih 70 buah bandar dan 26 buah negara seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Sepanyol, Perancis, Belanda, Austria, Estonia, Lithuania, Brazil, Jepun, Kanada, Afrika Selatan, Slovenia, Kuwait dan yang terbaru adalah di Republik Singapura.

Ia antara lain memberi gambaran tentang amalan agama Islam dalam kehidupan seharian, dengan penelitian kepada masyarakat. Di samping itu, ia turut menonjolkan mesej yang dibawa oleh Kesultanan Oman kepada masyarakat dunia iaitu toleransi, kesefahaman dan kehidupan bersama.

Pameran berkenaan di Negara Brunei Darussalam dianjurkan oleh Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Ugama, Kesultanan Oman dengan kerjasama KHEU Negara Brunei Darussalam. Ia dibukakan secara percuma kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

ARTIKEL YANG SAMA