Pelbagai acara sempena Hari Raya Haji

Pelbagai acara sempena Hari Raya Haji

Oleh Haji Mohd Daud Abd Rahman, Ampuan Irma Susanti binti Ampuan Hussain, Hazman HM

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 sept – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji, pelbagai pihak di negara ini mengambil inisiatif untuk mengadakan pelbagai majlis keagamaan termasuklah majlis-majlis Ibadah Korban.

Di Daerah Brunei dan Muara, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara pagi ini mengadakan Majlis Ibadah Korban dengan mengorbankan sembilan ekor kerbau dan mengagih-agihkan daging tersebut kepada penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas dan semua jawatankuasa yang terlibat.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Penghulu Mukim Serasa, Mejar (B) Haji Johari bin Abdul Razak. Turut hadir ialah Ketua Kampung Masjid Lama, Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Othman, ahli jawatankuasa takmir masjid, majlis perundingan kampung dan penduduk kampung berkenaan.

Antara beberapa orang Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali semasa memotong daging korban untuk diagih-agihkan kepada penerima.
Antara beberapa orang Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali semasa memotong daging korban untuk diagih-agihkan kepada penerima.

Sementara itu di Daerah Temburong, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menengah, Daerah Temburong mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya ‘Aidiladha untuk kali keempat yang berlangsung di balai raya kampung tersebut, hari ini.

Acara dimuatkan dengan acara bertakbir beramai-ramai diikuti dengan bacaan doa selamat, serta peraduan-peraduan yang bercorak keagamaan.

Ampuan Haji Mumin menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Ampuan Haji Mumin menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang, yang juga selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Penasihat Majlis Perundingan Kampung Menengah, Ampuan Haji Mumin bin Ampuan Salleh.

Manakala Di Daerah Tutong pula, sambutan Aidiladha tidak ketinggalan disambut dengan pelbagai majlis Ibadah Korban oleh beberapa pihak di daerah ini. Antaranya Ahli Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong kelmarin mengadakan majlis berkenaan dengan mengorbankan tujuh ekor kerbau.

Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong membacakan doa sebelum salah seekor kerbau disembelih.
Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong membacakan doa sebelum salah seekor kerbau disembelih.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Keriam pula telah mengadakan majlis yang serupa dengan mengorbankan enam ekor kerbau. Hadir di majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking dan Ketua Kampung Keriam Haji Morshidi bin Haji Mahadi.

Majlis seumpama ini diharap akan dapat memupuk sikap pemedulian terhadap golongan masyarakat yang kurang berkemampuan di negara ini, serta meningkatkan sikap proaktif dalam kerja-kerja amal bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda.

ARTIKEL YANG SAMA