Pelbagai acara sempena Maal Hijrah

Pelbagai acara sempena Maal Hijrah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Awal Tahun Hijrah 1437 akan disambut minggu depan di seluruh dunia dan di negara ini, sambutannya akan diadakan secara besar-besaran bagi menyemarakkan lagi peristiwa bersejarah Hijrah Rasulullah S.A.W.

Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menyatakan sambutan akan dimulakan dengan bacaan doa akhir Tahun 1436 Hijrah pada petang 13 Oktober ini, diikuti dengan bacaan doa awal Tahun 1437 Hijrah selepas masuk waktu Maghrib di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Dengan tema sambutan tahun ini, Berhijrah untuk Membangun, beberapa acara turut diadakan termasuklah kempen kebersihan masjid-masjid, surau dan balai ibadat senegara, penyampaian hadiah kepada anak-anak damit yang lahir pada 1 Muharram 1437 Hijrah yang akan diadakan pada 15 Oktober 2015 di hospital-hospital kerajaan seluruh daerah dan Forum Hijrah yang akan diadakan di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 ini nanti.

ARTIKEL YANG SAMA