Pelbagai aktiviti ceriakan sambutan di Belait

Pelbagai aktiviti ceriakan sambutan di Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli & Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Mei – Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan di Daerah Belait tidak kurang meriahnya dengan pelbagai acara dan aktiviti diadakan di dua zon berasingan, iaitu Zon 1 di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), dan Zon 2 di Padang Bandaran, di sini.

Pelancaran sambutan di Zon 1 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Manakala itu, sambutan di zon 2 telah dilancarkan oleh Setiausaha Tetap (Hiliran dan Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi, selaku wakil peribadi Pemangku Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Sambutan di Zon 1 telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad yang antara lain menekankan mengenai kepentingan pucuk pimpinan sesebuah keluarga bagi melahirkan generasi berwawasan di masa akan datang.

Selepas pelancaran, tetamu kehormat turut menyaksikan pelbagai persembahan seperti silat, tarian asli dan tarian masyarakat cina yang dipersembahkan oleh ahli-ahli majlis perundingan mukim di Zon 1 Daerah Belait.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah Keluarga Cemerlang kepada Haji Sabli bin Haji Omar.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah Keluarga Cemerlang kepada Haji Sabli bin Haji Omar.

pg10_150504_a

Yang Berhormat Pehin turut berkesudian melancarkan pertandingan futsal hari keluarga, dan menyaksikan pameran dan jualan, dan ikut serta dalam aktiviti-aktiviti Hari Keluarga.

Semasa acara tersebut, Yang Berhormat Pehin juga sempat menyampaikan hadiah “Keluarga Cemerlang” kepada dua penerima iaitu Haji Sabli bin Haji Omar dan Haji Sabli bin Haji Ahmad.

Semasa ditemui, Haji Sabli bin Haji Omar, 69, berkata dalam mendidik keluarga berwawasan, beliau menerapkan sifat-sifat yang mulia dan kepentingan mengimbangi ajaran agama dan dunia.

“Pegangan dan pendirian hidup saya adalah untuk memastikan anak-anak saya mempunyai pendidikan asas yang penting dari segi duniawi dan akhirat (agama), kerana saya sedar pelajaran itu amat penting bagi kehidupan mereka di masa depan nanti dan ia tidak boleh disia-siakan.

“Dari segi agama juga saya memastikan agar mereka mengetahui kepentingan didikan agama di dalam hidup mereka kerana saya percaya ia akan membantu kejayaan mereka jua nanti,” ujar beliau yang merupakan pesara Syarikat Brunei Shell Petroleum dan kini mengusahakan perniagaan kraf tangan yang menjadi minat serta hobi di waktu lapang.

Sementara itu, sambutan di Zon 2 turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Ali bin Matyassin, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi kawasan sambutan zon 2 serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.

Dato Paduka Haji Jamain turut serta dalam aktiviti memanaskan badan semasa sambutan di Padang Bandaran.
Dato Paduka Haji Jamain turut serta dalam aktiviti memanaskan badan semasa sambutan di Padang Bandaran.
Kumpulan penghulu dan ketua kampung ketika menyertai salah satu acara yang diadakan di Padang Bandaran.
Kumpulan penghulu dan ketua kampung ketika menyertai salah satu acara yang diadakan di Padang Bandaran.
Persembahan cergas oleh ahli-ahli Persatuan Wushu yang terdiri daripada kanak-kanak dan belia.
Persembahan cergas oleh ahli-ahli Persatuan Wushu yang terdiri daripada kanak-kanak dan belia.

Menyemarakkan suasana sambutan di zon ini adalah persembahan seni mempertahankan diri Wushu oleh kalangan ahli-ahli Persatuan Wushu Kuala Belait yang terdiri daripada kanak-kanak dan belia.

Turut menghiburkan acara sukan ria adalah perlumbaan meluncur selipar darat yang melibatkan penyertaan kumpulan mewakili tetamu kehormat, sektor swasta, penghulu dan ketua kampung, yang mana permainan itu memerlukan kesepakatan, keserasian dan gerakan kerjasama atau berpasukan.

Seperti juga daerah lainnya, sambutan kebangsaan di Daerah Belait telah dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, diikuti sembahyang Sunat Hajat dan membaca surah Yasin dan Tahlil serta doa khas Hari Keluarga, malam tadi.

Manakala itu, subuh tadi telah diadakan Solat Subuh berjemaah, diikuti Kuliah Subuh dan doa selamat Hari Keluarga yang telah diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam bagi kawasan Zon 2 dan di Masjid Zainab Kampung Lumut bagi zon 1.

ARTIKEL YANG SAMA