Pelbagai aktiviti di KB Sentral

Pelbagai aktiviti di KB Sentral

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 Okt – KB Sentral kini bukan saja dikenali sebagai sebuah pusat membeli-belah yang turut menyediakan penginapan hotel mewah, tetapi juga sebagai pusat yang sering mengadakan pelbagai aktiviti bagi memenuhi masa terluang seisi keluarga terutama kanak-kanak sama ada di hujung minggu atau pada musim cuti persekolahan.

Sehubungan itu, KB Sentral akan menganjurkan satu lagi aktiviti menarik iaitu Minggu Kreatif Kanak-kanak pada 8 Oktober ini yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan cara berfikir kreatif dalam kalangan pesertanya melalui acara yang telah dirancang dan disediakan.

Minggu Kreatif tersebut yang diadakan selama empat hari sehingga 11 Oktober, akan dibahagikan kepada empat aktiviti berbeza, iaitu ‘kraf tangan daripada barang terbuang’ dibukakan penyertaan kepada kanak-kanak berusia 8 hingga 14 tahun diadakan pada 8 hingga 9 Oktober bermula pukul 7 hingga 9 malam.

Pertandingan mewarna juga akan diadakan pada Minggu Kreatif anjuran KB Sentral bermula Khamis ini.
Pertandingan mewarna juga akan diadakan pada Minggu Kreatif anjuran KB Sentral bermula Khamis ini.

Pada 9 Oktober juga, pertandingan menyelesaikan teka-teki dibukakan kepada kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun yang dihadkan kepada 10 penyertaan sahaja dan pesertanya dijangka akan menyelesaikan sejumlah 104 kepingan teka-teki susun suai gambar dan sesiapa yang awal menyelesaikannya dengan sempurna dikira sebagai pemenang, yang bermula daripada jam 2 hingga 3 petang.

Manakala pada hari Sabtu pula, pertandingan mewarna akan bermula jam 7 hingga 8 malam yang mana para peserta dikehendaki untuk membawa peralatan mewarna masing-masing, bagaimanapun kertas lukisan akan disediakan oleh pihak penganjur. Pemenang pertandingan ini akan dinilai melalui kreativiti kemahiran menggunakan warna yang menarik.

Mengakhiri acara Minggu Kreatif KB Sentral pada 11 Oktober itu nanti adalah Pertandingan Mengeja yang dibukakan kepada kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun, bermula jam 2 hingga 5 petang dan melalui pertandingan itu, peserta akan diberikan giliran untuk menjawab ejaan ayat yang diberikan secara lisan.