Pelbagai aktiviti semarak pusat BSB

Pelbagai aktiviti semarak pusat BSB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Sempena musim cuti persekolahan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) dengan kerjasama Pengurusan Acara akan mengadakan pelbagai aktiviti dan jualan di Dermaga Diraja BSB bagi memeriahkan serta menyemarakkan suasana pusat bandar bermula dari 25 hingga 27 Disember nanti.

Antara aktiviti yang telah disusun ialah gerai jualan, gerai makan, Jualan Kembali Ke Sekolah, Pertunjukan Kucing, Pertandingan DJ/Pengacara, Permainan ‘Air Wheel’, ‘Photo Booth’, Pertandingan Membuat Teh Tarik, Pertandingan Membuat Roti Canai, Pertandingan Permainan Tradisional seperti Permainan Pasang dan Congkak, Rumah Reptilia, Permainan Tamiya dan bermacam-macam lagi.

Kegiatan dan jualan itu akan bermula dari jam 2:30 petang hingga 10 malam pada 25 Disember manakala pada 26 dan 27 Disember, ia akan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

Para pengunjung juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam permainan ‘Z-Tricycle’ pada malam 27 Disember dengan menggunakan Jalan McArthur dan sebahagian Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien bagi menikmati suasana malam di pusat bandar.

Sehubungan dengan itu, pihak penganjur mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama berkunjung ke gerai jualan bersama keluarga sambil menyaksikan bermacam-macam pertunjukan, permainan dan beriadah bersama keluarga.