Pelbagai aktiviti sempena ulang tahun YSEALI ke-3

Pelbagai aktiviti sempena ulang tahun YSEALI ke-3

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Ahli-ahli Program Felo Akademik Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) akan meraikan ulang tahun YSEALI yang ke-3 pada 3 Disember ini dengan menganjurkan hari terbesar projek komuniti belia yang diterajui seluruh Asia Tenggara.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam akan turut memimpin empat projek yang akan disertai lebih 100 orang sukarelawan bagi projek-projek ini.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan Amerika Syarikat di negara ini, Catherine Muller dalam sidang media yang berlangsung di ibu pejabat kedutaan tersebut, pagi tadi.

Empat projek yang akan diadakan itu ialah Farm Up Your Life! A Farm-to-School-Project yang diketuai oleh Alumni YSEALI dari Generation Earth 2015, Pengiran Mas Dino binti Pengiran Radin Hanafi; Projek Integral Learning for Children with Autism, Access to Education yang diketuai oleh alumni YSEALI Academic Fellowship, Awangku Mohd Izwan Shafuan bin Pengiran Mohd Daud; Projek Stories of Migrants: Dialogue and Exhibition yang akan dipimpin oleh alumni YSEALI Professional Fellowship, Dayang Norhayatunajibah binti Haji Kifli dan Projek Beach Clean Up and Tree Planting yang diketuai oleh alumni YSEALI Ocean Workshop, Awang Muhammad Firdaus bin Haji Ismail.

Menurut Pengiran Mas Dino semasa sidang media berkenaan telah menyatakan bahawa projek ini akan memulakan Program Pertanian Sekolah yang mana akan memberikan tumpuan kepada para pelajar mengenai dengan sistem makanan yang berterusan, pengurusan sisa, penjagaan alam sekitar dan pemakanan melalui pendekatan eksperimen-pembelajaran.

Ketua-ketua projek YSEALI bergambar ramai.
Ketua-ketua projek YSEALI bergambar ramai.

Pada masa ini, projek yang dijalankan sejak 1 Oktober lalu di Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah disertai 50 orang di mana dengan harapan agar dapat memberikan inspirasi kepada generasi pemimpin muda yang berdaya tahan dan mampan.

Manakala Awangku Mohd Izwan Shafuan pula menjelaskan bahawa projek ini akan mewujudkan satu rangkaian platform bagi para pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan lain-lain untuk memberikan kuasa kepada guru-guru agar mereka dapat lebih memahami dan mengajar kanak-kanak autisme.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa projek yang merupakan kerjasama dengan Autism Advocates Brunei dan Pusat Ehsan itu akan diisikan dengan penceramah-penceramah yang pakar dengan kanak-kanak istimewa.

Projek tersebut yang akan dilancarkan pada 2 Disember itu juga akan diisikan dengan beberapa aktiviti bersama kanak-kanak istimewa Pusat Ehsan di pusat berkenaan pada sesi pagi dan petang dan lawatan ke Jerudong Park.

Projek tersebut diharap akan meningkatkan lagi kesedaran mengenai dengan kanak-kanak autisme di negara ini.

Sementara itu, bagi projek yang diketuai Dayang Norhayatunajibah, yang akan diadakan di Kaleidoscope, iCentre, telah menyediakan platform kepada pelbagai agensi-agensi tertentu agar dapat berinteraksi bersama generasi-generasi muda dalam sama-sama memahami isu mengenai dengan penghijrahan dan penyeludupan manusia.

Projek tersebut akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Sesi Dialog, Journal Stories of Migrants dan juga pameran, tambahnya.

Beliau menyatakan bahawa sebanyak 100 buah buku jurnal akan disediakan untuk diisikan dengan 100 cerita mengenai dengan pendatang pekerja asing di negara ini.

Buku tersebut diharap akan dapat menggalakkan lagi perbualan semula jadi di antara para pendatang asing bersama masyarakat tempatan di negara ini agar orang ramai dapat memahami dan mendengarkan pengalaman-pengalaman mereka sebagai pendatang asing.

Bagi pameran itu nanti, projek ini akan mereplikakan sebuah rumah pekerja pendatang untuk menunjukkan sendiri kos untuk tinggal di Brunei sebagai pekerja asing.

Bagi projek-projek Beach Clean Up and Tree Planting pula, Awang Muhammad Firdaus menjelaskan bahawa projek yang merupakan kerjasama bersama Green Brunei itu akan diisikan dengan pelbagai aktiviti seperti kempen kebersihan pantai dan penanaman pokok dan disusuli dengan sesi perbincangan mengenai cara-cara kreatif belia boleh melindungi alam sekitar.

Projek tersebut akan diadakan di Pusat Marine Biodiversiti, Meragang.

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Craig Allen dalam kenyataan yang diberikan menyatakan bahawa, “Projek YSEALI YOUnified yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun YSEALI ke-3 ini akan memaparkan spirit kesatuan para belia muda di kalangan rakyat di seluruh Asia Tenggara dan menunjukkan keinginan mereka untuk berbakti kepada masyarakat melalui projek komuniti.”

Ahli-ahli YSEALI akan mengadakan aktiviti-aktiviti komuniti ini ke semua 10 negara ASEAN dan sambutan YSEALI YOUnified ini akan menggalakkan generasi-generasi muda untuk terlibat dan menunjukkan kuasa belia dalam membangunkan penyelesaian terhadap penekanan isu-isu tempatan, kebangsaan dan serantau.

ARTIKEL YANG SAMA