Pelbagai budaya warisan padi ASEAN dikongsikan

Pelbagai budaya warisan padi ASEAN dikongsikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Festival Padi ASEAN yang berlangsung di Hotel StarLodge, Jerudong, memasuki hari kedua, hari ini, dengan pembentangan tiga kertas kerja dari tiga buah negara iaitu Myanmar, Filipina dan Malaysia.

Hadir mendengarkan pembentangan kertas-kertas kerja pagi tadi ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, selaku Setiausaha/Ketua Urusetia Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Meynardo L. Montealegre dan Pengarah Muzium Brunei selaku Pengerusi Majlis, Pengiran Dr. Karim bin Pengiran Haji Osman.

Kertas kerja pertama telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Sumber Pertanian dari Myanmar, Dr Khin Mar Htay dengan tajuk ‘Pesta Padi Myanmar’. Menurut Dr Khin, Myanmar merupakan negara pengeluar padi keenam terbesar di dunia dan antara kawasan pengeluar padi utama ialah kawasan delta termasuk Irrawaddy, Baru, Yangon dan Mon State. Keempat-empat kawasan ini menghasilkan lebih separuh daripada tanaman monson.

Kertas kerja beliau juga turut menyentuh mengenai peranan padi yang penting terhadap agama dan kepercayaan di dalam budaya mereka yang digunakan semasa perkahwinan bagi kedua-dua belah pihak pengantin.

Dr. Haji Muhammad Hadi semasa hadir di majlis itu.
Dr. Haji Muhammad Hadi semasa hadir di majlis itu.
Dr. Khin Mar Htay semasa menyampaikan kertas kerja.
Dr. Khin Mar Htay semasa menyampaikan kertas kerja.

Menurut beliau lagi, terdapat lapan festival padi di Myanmar antaranya Pesta Penuaian Padi Myanmar, Pesta Penuaian Padi Kachin dan Manaw, Pesta Penuaian Padi Kayah dan Pulut, ‘Karen Slash and Burn Festival, Seed Planing Festival, Harvesting Festival and New Harvest Festival’, ‘Shan New Year Harvesr Day and Shan Poets Day Festivals’ dan sebagainya.

Beliau turut menyentuh mengenai pembiakan jenis padi yang lebih baik, ritual bagi lagu-lagu dan tarian petani serta dewi padi di Myanmar.

Sementara itu, Pengarah Pengasas U.P Leyte-Samar Pusat Warisan, Profesor Madya Joycie Dorado Alegre dari Filipina pula membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Rice is Biyaya: Gift From The Gods’.

Beliau telah menceritakan mengenai mitos padi di negara mereka yang menurutnya, padi merupakan Biyaya iaitu hadiah daripada tuhan mereka dan kepentingannya kepada masyarakat mereka.

Selain itu, beliau juga membincangkan mengenai upacara padi sebagai pertemuan dan perjamuan suci.

Pembentangan diteruskan lagi oleh Pengarah Muzium Kedah, Suhaidi bin Shukri dari Malaysia dengan kertas kerjanya bertajuk ‘Customs, Beliefs and Traditions in Carrying out Padi Farming Activities in Kedah Darul Aman in Years Gone By’.

Beliau menjelaskan bahawa Kedah Darul Aman dikenali sebagai Jelapang Padi (Rice Bowl) Malaysia dan menurut statistik Kementerian Pertanian Malaysia pada tahun 2013 melaporkan bahawa hampir 125,155 hektar tanah telah digunakan bagi pertanian padi di wilayah itu.

Dalam kertas kerjanya, beliau juga menyentuh mengenai kajian yang dijalankan mengenai penanaman padi di Kedah Darul Aman beberapa tahun yang lalu.

Festival Padi ASEAN berkenaan turut menyaksikan beberapa persembahan kebudayaan dari negara ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA