Pelbagai jeni...

Pelbagai jenis anggur di Ladang Saloma di Sitiawan

SITIAWAN – Langsung tidak pernah terfikir untuk memetik anggur segar dari ladang, lebih-lebih lagi di negara sendiri yang beriklim khatulistiwa serta lokasinya bukanlah di tanah tinggi. Tetapi selepas pertama kali mengunjungi Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery di Lekir, rupa-rupanya di Perak mempunyai dua ladang anggur milik seorang bumiputera, dan tanggapan penulis lenyap apabila mereka menawarkan pengalaman istimewa kepada pengunjung lain.

Pengalaman berjalan di bawah gugusan anggur bergayutan di atas kepala pasti membuatkan sesiapa sahaja yang pertama kali melangkah masuk termasuklah penulis terpesona selain boleh merasai kemanisan dan kerangupan tekstur jenis anggur tempatan yang dianggap memiliki kelas tersendiri.

Berkonsepkan petik, timbang dan bayar, seperti yang dilakukan pengusaha tanaman strawberi di Cameron Highlands, pengunjung berpeluang memetik sendiri buah anggur yang telah matang di bawah pengawasan pekerja ladang.

Jangan lupa abadikan kenangan sukar diperoleh itu dengan mengambil gambar foto dan merakam video sebelum pulang. Tiada sebarang bayaran dikenakan.

Begitulah hasil kemajuan teknologi hibrid membolehkan tumbuhan renek itu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia di mana setakat ini cuma dua tempat yang penulis ketahui ada mengusahakan ladang anggur iaitu di Perlis dan di Sik, Kedah.

Tapak semaian Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery di Batu 6, Lekir, dekat Sitiawan. Ladang milik Siti Saloma Saad, 52, berkonsepkan petik, timbang dan bayar diusahakannya sejak tahun 2006. - Bernama
Tapak semaian Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery di Batu 6, Lekir, dekat Sitiawan. Ladang milik Siti Saloma Saad, 52, berkonsepkan petik, timbang dan bayar diusahakannya sejak tahun 2006. – Bernama
Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery turut menawarkan jualan anak pokok anggur pelbagai jenis serta baja dan tanah dengan harga yang berpatutan. – Bernama
Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery turut menawarkan jualan anak pokok anggur pelbagai jenis serta baja dan tanah dengan harga yang berpatutan. – Bernama

Bukan tanaman khusus beriklim sejuk

Bagi pemilik Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery, Siti Saloma Saad,52, memilih sesuatu yang unik bukanlah laluan mudah untuk ditempuhi. Namun bekas pelukis pelan di sebuah jabatan kerajaan itu bersama suaminya Shuhaimi Ishak, 53 yang telah lebih 10 tahun menceburi ladang pertanian anggur, mereka membuktikan bahawa setiap keazaman yang disulam usaha gigih pastinya membuahkan hasil.

Kini populariti dua ladang anggur yang setiap satunya seluas satu ekar, turut diusahakan bersama dua anak mereka, Muhammad Danial, 23, dan Farah Dalila, 20, kian dikenali, sekaligus kejayaan itu menjadikan keluarga ini terutamanya Siti Saloma sebagai individu ‘terpenting’ hingga ada menggelarkan beliau dengan panggilan master gardening bagi penanaman anggur.

Setakat ini terdapat kira-kira 2,000 pokok anggur di kedua-dua buah ladang itu yang dijaga oleh empat beranak itu dibantu beberapa pekerja termasuk lima pelajar praktikal dari universiti awam mahupun swasta ketika ini.

Menurut Siti Saloma, pihaknya menyediakan persekitaran semula jadi untuk dirasai sendiri oleh pengunjung ladang berkenaan.

“Di ladang ini, semua pokok anggur ditanam di bawah rumah perlindungan hujan. Bila kita buat begini, ini sekali gus mendedahkan kepada orang ramai bahawa anggur boleh ditanam dan hidup subur di kawasan cuaca panas.

“Anggur yang hidup subur ini juga berdasarkan beberapa faktor seperti pemilihan jenis yang tahan dengan hujan dan cuaca yang lembap serta panas,” katanya.

Celoteh wanita yang berasal dari Seberang Prai, Pulau Pinang ini bagaikan satu ensiklopedia pertanian bergerak. Walaupun mengakui awal pembabitan, beliau lebih banyak mempelajari ilmu agro dari Internet, namun hasilnya kini adalah bukan calang-calang nilainya.

Jelasnya, menanam pokok anggur di negara ini bukanlah suatu yang mustahil kerana kajian menunjukkan anggur juga berasal dari negara padang pasir dan mengikut maklumat diperoleh menerusi Internet, cuaca panas mampu memaniskan lagi buah anggur.

“Pendedahan kepada cahaya matahari pada kadar 80 hingga 100 peratus dan peredaran udara yang baik faktor yang mempengaruhi pertumbuhan pokok anggur. “Namun pokok anggur ini ada pantangnya, jika kerap terkena air hujan, daun dan batang anggur mudah mereput/berkulat, buahnya jadi berbintik-bintik hitam seolah-olah berkarat kerana sifat berasid anggur yang sensitif kepada air,” katanya.

Jenis anggur

Menurut Siti Saloma, beliau telah menanam lebih 10 jenis anggur namun hanya lapan jenis yang dapat dikomersialkan iaitu Isabella Madu, Long White Malaga, IAC, Alphonso Lavelle, Black Queen,dan jenis tanpa biji seperti Black Opal, Flame Seedless dan Loose Perlette. “Kesemua jenis anggur ituberbeza dari segi rupa dan rasa. Long White Malaga berasal dari Afrika Selatan mempunyai isi yang rangup, berwarna hijau kekuningan berbentuk lonjong sebesar ibu jari dan mempunyai rasa yang manis.

“Alphonso Lavelle pula yang berasal dari Kepulauan Bali juga mempunyai isi pejal dan warnanya pula hitam purple. Begitu juga dengan Black Opal yang sangat manis rasanya namun ia tidak berbijidan saiznya sederhana,” ujarnya sambil menceritakan semasa El Nino pertengahan tahun ini telah menyebabkan kebanyakan tanaman anggurnya berbuah dengan sangat manis hinggakan tiada biji berbanding tuaian Disember 2015.

Menceritakan lanjut, kebanyakan pokok anggur yang ditanam di kedua-dua ladangnya ada yang telah berusia 5 hingga 10 tahun dan mampu mengeluarkan hasil purata 15 kilogram bagi setiap satu pokok mengikut giliran.

Dalam usaha mempelbagaikan lagi koleksi jenis anggur, Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery kini mula menanam varieti anggur jenis Red Globe berasal dari China, namun masih dalam peringkat awalan.

Saloma berkata buah anggur Red Globe menjadi ‘table grape” (hanya untuk makan segar) di mana terdapat lebih 200 jenis Red Globe di seluruh dunia. Rasanya yang manis, dan buahnya banyak dan besar, menjadikan buah ini unggulan.

Perluas kejayaan

Sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Ulu Dedap, Teluk Intan bakal menjadi ladang anggurnya yang ketiga. Ketika ini, Siti Saloma berkata tanah berkenaan masih dalam proses kemasan dan dijangka beroperasi pertengahan tahun hadapan. “Selain itu, Jabatan Pertanian Daerah Manjung baru-baru ini telah memberi 0.6 hektar dan kini tapak itu hampir siap pembersihan. “Berkemungkinan dalam bulan Februari tahun hadapan ia akan beroperasi dan saya akan menjadi tenaga pengajar bagi kursus dalam bidang pokok anggur di bawah anjuran pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, minat Siti Saloma dan Shuhaimi telah diperturunkan kepada kedua-dua anaknya yang dipupuk sejak kecil. Ketika ini anak pertamanya Muhammad Danial, graduan pengurusan pertanian dalam Universiti Putra Malaysia cawangan Bintulu diberi tanggungjawab menjaga ladang pertama mereka di Batu 6, Lekir.

Manakala Farah Dalila kini sedang mengambil diploma dalam pengurusan perniagaan di Universiti Tekologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan sering membantu di ladang jika mempunyai masa terluang.

Jual pokok anggur

Bagi individu yang berminat memiliki pokok anggur sendiri, Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery turut menawarkan jualan anak pokok anggur pelbagai jenis serta baja dan tanah dengan harga yang berpatutan.

Setiap pokok dijual purata serendah RM25 hingga mencecah ratusan ringgit, mengikut saiz dan jenis. Malah pokok anggur juga sesuai untuk dijadikan pokokhiasan. Malah terdapat juga benih-benih pokok yang lain selain anggur antaranya epal bidara, kurma hibrid, buah tin, pokok herba dan banyak lagi. – Bernama