Pelbagai kesalahan didapati

Pelbagai kesalahan didapati

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Jun – Penambahan kem gerai tanpa kebenaran, makanan tidak bertutup dan barang jualan diletakkan di atas lantai adalah antara kesalahan yang telah didapati oleh Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dan Pejabat Kesihatan semasa Ops Sergah 23/2015 secara bersepadu di kawasan Gerai Ramadan Bangunan Tudung Saji di sini.

Operasi yang diketuai oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria itu telah disertai sama oleh beberapa buah agensi antaranya Pejabat Kesihatan Kuala Belait, Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B Cawangan Daerah Belait dan Jabatan Hal Ehwal Ugama (Bahagian Kawalan Makanan Halal) Daerah Belait.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi pemeriksaan itu telah mencadangkan supaya penggunaan gas dihadkan kepada dua tong sahaja untuk keselamatan para peniaga dan juga orang ramai yang mengunjungi gerai berkenaan.

Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Ugama pula mendapati beberapa peniaga tidak menyediakan resit pembelian daging-daging mentah sepertimana yang sudah diterangkan sebelum perniagaan dimulakan awal Ramadan lalu.

Operasi pemeriksaan itu bertujuan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung di gerai berkenaan, di samping memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan.

Pemeriksaan Gerai Ramadan di kawasan Bangunan Gerai Tudung Saji diketuai oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
Pemeriksaan Gerai Ramadan di kawasan Bangunan Gerai Tudung Saji diketuai oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
Operasi sepadu itu turut disertai sama oleh beberapa agensi lainnya termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B Cawangan Daerah Belait.
Operasi sepadu itu turut disertai sama oleh beberapa agensi lainnya termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B Cawangan Daerah Belait.

Selain itu, ia juga adalah bagi memastikan keadaan makanan dan peniaga di sepanjang jualan gerai Ramadan itu dalam keadaan bersih dan selamat, dan bagi memastikan daging-daging mentah yang digunakan untuk dijual adalah tidak diragui kehalalannya.

Seramai 23 orang termasuk lapan orang pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, lapan pegawai daripada Pejabat Kesihatan Kuala Belait, empat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B Cawangan Daerah Belait dan tiga orang pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Ugama (bahagian Kawalan Makanan Halal) telah terlibat menyertai operasi tersebut.

Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria mengingatkan bahawa pemeriksaan akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan disertai sama oleh agensi-agensi berkenaan lainnya, dan meminta supaya orang ramai khususnya para peniaga akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

ARTIKEL YANG SAMA