Pelbagai kesalahan dikesan dalam Ops Tegas 4

Pelbagai kesalahan dikesan dalam Ops Tegas 4

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Ops TEGAS 4 yang melibatkan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) dan daerah-daerah polis telah diteruskan lagi tengah malam tadi.

Operasi menumpukan di kawasan Lebuhraya Tungku/ Jerudong yang melibatkan seramai 16 orang anggota.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran Am dan Kewangan dan Pemangku Pengarah JSKLL, Penguasa Polis Kanan Haji Awang Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad serta Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Pengiran Mohammad Amirizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Dalam operasi selama dua jam itu, enam kes kompaun dicatatkan termasuk plat lesen tidak mengikut peraturan, tidak memasang ‘On Tow’, tidak menampal cukai jalan, tayar keluar dari madgad, tayar nampak benang dan memasang lampu biru di hadapan. Selain itu enam kesalahan doket juga dilaporkan yang termasuk cukai jalan mansuh, tidak ada lesen memandu kelas 3, memasang pelekat cermin hitam dan lesen memandu mansuh.

Sementara itu, bersempena cuti persekolahan, operasi bersepadu juga telah dijalankan oleh semua balai di bawah jagaan Daerah Polis Brunei dan Muara di lapan lokasi dan melibatkan hampir 150 orang anggota yang terdiri daripada para pegawai dan anggota polis yang terlebih dahulu mendengar taklimat tentang kawasan sasaran sebelum operasi.

Taklimat yang disampaikan oleh Insp Mohammad Faizal Iswandy bin Ali Othman sebelum operasi dijalankan.
Taklimat yang disampaikan oleh Insp Mohammad Faizal Iswandy bin Ali Othman sebelum operasi dijalankan.
Salah satu lokasi sekatan jalan raya ialah berdekatan Sekolah Ugama Kilanas.
Salah satu lokasi sekatan jalan raya ialah berdekatan Sekolah Ugama Kilanas.

Operasi sekatan jalan raya dan rondaan cegah jenayah menerusi kaedah ‘Stop & Search’ ini secara keseluruhannya dipantau oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei dan Muara, Penguasa Polis Husaini bin Matzin dan dipimpin oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Penolong Penguasa Polis Haji Naguib bin Dato Paduka Haji Ismail.

Operasi pemeriksaan sekatan jalan raya bermula selepas tengah malam tadi di lima lokasi secara serentak, yang melibatkan Jalan Jerudong, lebuh raya menghala perumahan Katok ‘B’, Jalan Mulaut/Limau-Manis, Kampung Terunjing dan Kampung Kilanas.

Manakala itu, rondaan ‘Stop & Search’ dilakukan di Perpindahan STKRJ Rimba, Perpindahan Kampung Lambak Kanan dan kawasan komersil. Menurut kenyataan itu, tujuan operasi adalah untuk membendung peningkatan kes-kes curi yang dilaporkan di balai-balai, yang sebahagiannya melibatkan di kawasan berkenaan.

Oleh yang demikian, operasi sebegini diambil sebagai langkah-langkah Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Daerah Polis Brunei dan Muara untuk mencegah jenayah dan juga sebagai langkah menunjukkan keberadaan polis dalam lingkungan masyarakat.

Hasil daripada pemeriksaan berkenaan, sebanyak 25 ‘Stop & Search’ telah direkodkan, lima Peringatan Polis dikeluarkan dan 19 kes kompaun dicatatkan yang melibatkan kesalahan-kesalahan seperti lampu depan tidak menyala, lampu plat lesen tidak menyala, tidak menampal cukai jalan dan plat lesen tidak ikut peraturan.

Selain daripada itu, sebanyak 11 kes doket lalu lintas turut dicatatkan yang termasuk cukai jalan mansuh, merendahkan kenderaan dari yang asal dan tidak mempunyai lesen memandu.

Di kawasan lain, Operasi Sepadu Daerah Polis Brunei dan Muara bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) turut dijalankan di Jalan Muara berdekatan simpang Jalan Sarai Pimping bermula dari jam 10:30 malam hingga 1:45 pagi.

Operasi yang melibatkan 17 orang anggota polis dan empat dari JKED itu telah menjalankan 27 ‘Stop and Search’ dan mencatatkan dua kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan lesen memandu yang mansuh serta satu peringatan dikeluarkan.

Sementara itu, Daerah Polis Belait juga melaksanakan operasi sama yang dijalankan oleh Balai Polis Seria, Balai Polis Kuala Belait, Balai Polis Sungai Liang dan Balai Polis Labi.

Operasi tersebut melibatkan 19 orang anggota polis dan menumpukan di kawasan G32/ G33 Simpang 4 Jalan Tengah Anduki Seria, Pusing Keliling Rasau dan hadapan Balai Polis Sungai Liang. Operasi dijalankan di tempat-tempat berasingan itu bermula pada jam 10:30 malam hingga 2 pagi tadi, bagaimanapun tidak mendapati sebarang kesalahan lalu lintas.

ARTIKEL YANG SAMA