Pelbagai ragam, telatah pelajar meriahkan kembali ke sekolah

Pelbagai ragam, telatah pelajar meriahkan kembali ke sekolah

Oleh Syahmi Hassan, Siti Nur Wasimah S & Imelda Groves HA

Gambar oleh Syahmi Hassan, Siti Nur Wasimah S & Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Setelah bercuti lebih sebulan, sekolah-sekolah di seluruh negara kembali riuh dengan suara gembira para murid bertemu semula rakan-rakan bagi memulakan penggal persekolahan pertama 2016 hari ini.

Tinjauan Media Permata ke beberapa buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara menyaksikan pelbagai karenah dan perasaan kanak-kanak, gembira, teruja dan tidak kurang juga tangisan ketakutan dengan suasana sekolah yang baru, kawan-kawan baru dan tidak ketinggalan guru di luar rumah yang bakal mendidik mereka nanti.

Semasa tinjauan di sekolah swasta, Sekolah Bakti Dewa, Kampung Sengkurong Media Permata berkesempatan menemu bual salah seorang guru di sana, Dayang Norlina binti Ahmad yang berkata banyak persediaan yang perlu disiapkan oleh para guru sebelum menjelang pembukaan sekolah bagi tahun 2016 ini.

“Antaranya menghias kelas masing-masing menepati keperluan para pelajar bagi keselesaan mereka. Sebagai guru rendah bawah, semestinya akan menghadapi pelbagai ragam para pelajar pada hari pertama persekolahan.

“Diharap perkara tersebut akan dapat dikawal dengan baik berdasarkan pengalaman sebelumnya,” ujarnya sambil melahirkan harapan tahun ini para pelajar akan dapat menghasilkan kualiti pembelajaran yang lebih cemerlang.

Pelajar Sekolah Rendah Jerudong semasa perbarisan sekolah.
Pelajar Sekolah Rendah Jerudong semasa perbarisan sekolah.
Beberapa orang guru bergambar ramai bersama murid-murid di Sekolah Rendah Jerudong.
Beberapa orang guru bergambar ramai bersama murid-murid di Sekolah Rendah Jerudong.
Suasana para pelajar di Sekolah Rendah Jerudong.
Suasana para pelajar di Sekolah Rendah Jerudong.
Wajah keriangan para pelajar.
Wajah keriangan para pelajar.

Di Sekolah Sinar Matahari, Media Permata sempat menemu bual ibu bapa yang masih menyaksikan anak-anaknya di luar jendela kelas bagi memastikan mereka dapat mengadaptasi suasana baru.

Dayang Susy Groves, ibu kepada empat orang anak lelaki menjelaskan ketiga-tiga orang anaknya dihantar sekali gus di sebuah sekolah yang sama memandangkan abangnya telah pun berada di sekolah tersebut sejak tahun lalu lagi.

“Bukan mudah untuk menguruskan tiga anak lelaki yang dua daripadanya adalah kembar namun sebagai ibu bapa, apa yang paling penting terhadap anak-anak mereka ialah memahami objektif sebenar untuk pergi ke sekolah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyatakan, sebagai ibu bapa, beliau perlu memahami mengapa anak-anak perlu diberi pendidikan akademik dan bagaimana untuk menguruskan pembelajaran serta kehidupan sosial mereka di sekolah.

“Keadaan dan suasana sekolah juga adalah penting bagi keselamatan dan keselesaan anak-anak kami belajar maka kami suami isteri akan memastikan tempat pembelajaran sekolah itu perlu diambil kira,” jelasnya lagi yang kelihatan sibuk bersama suami menangani anak-anaknya.

Sementara itu, Dayang Rokiah Mahmud yang menghantar kedua-dua anaknya ke Sekolah Cahaya Bina, melahirkan harapan agar tahun akademik 2016 ini akan membawakan kecemerlangan terhadap pembelajaran anak-anak mereka.

“Saya dan suami berharap anak-anak kami boleh membaca dan menulis dengan lebih baik lagi apabila bermula di alam persekolahan setelah menerima pembelajaran di rumah di awal perumuran mereka,” katanya.

pg04_160105_c

Suasana murid dari Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana pada hari pertama persekolahan.
Suasana murid dari Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana pada hari pertama persekolahan.

pg04_160105_d

Awangku Muhd Saidin, murid Tahun 5B dari Sekolah Rendah O.K.S.B Kilanas.
Awangku Muhd Saidin, murid Tahun 5B dari Sekolah Rendah O.K.S.B Kilanas.

Beliau menambah kata, dengan didikan betul daripada guru-guru yang mengajar mereka nanti akan melahirkan lebih banyak anak-anak yang cemerlang.

Sementara itu, dalam tinjauan ke beberapa buah sekolah rendah kerajaan, Media Permata juga sempat menemu bual beberapa orang guru.

Guru Besar Sekolah Rendah Orang Kaya Setia Bakti (OKSB) Kilanas, Awang Soffian bin Haji Sharbini menjelaskan, pada tahun ini kemasukan pelajar dari sekolah lain menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Tahun ini kami menerima masuk pelajar dari sekolah swasta dalam 17 orang. Ada juga murid dari Sudan, Filipina dan juga Malaysia,” jelasnya.

Ditanya mengenai kemasukan murid bagi kelas Pra sekolah berkenaan, beliau berkata bahawa mereka akan memulakan kelas berkenaan pada 9 Januari ini dan sebelum ini telah mengadakan orientasi bagi pengendalian kelas berkenaan.

Beliau turut melahirkan harapan agar pada tahun ini, murid-murid dapat meningkatkan prestasi terutamanya daripada segi kedatangan.

“Dari segi disiplin juga, Alhamdulillah perkara ini memang sudah ditekankan, contohnya dari segi rambut, kuku dan seragam sekolah,” katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang murid sekolah berkenaan yang ditemui, Awangku Muhd Saidin bin Pengiran Amin, murid Tahun 5B, turut meluahkan kegembiraannya bertemu semula rakan-rakannya.

“Barang-barang sekolah juga kebanyakannya sudah dibeli sebelum sekolah lagi supaya semua yang saya perlukan ada di hari pertama masuk sekolah,” ujarnya.

Suasana murid-murid Sekolah Bakti Dewa tekun belajar pada hari pertama persekolahan 2016.
Suasana murid-murid Sekolah Bakti Dewa tekun belajar pada hari pertama persekolahan 2016.
Karenah murid yang memulakan hari pertama persekolahan di Sekolah Sinar Matahari.
Karenah murid yang memulakan hari pertama persekolahan di Sekolah Sinar Matahari.
Tiga adik-beradik menghadiri persekolahan mereka di Sekolah Sinar Matahari.
Tiga adik-beradik menghadiri persekolahan mereka di Sekolah Sinar Matahari.
Salah seorang murid kelihatan menangis pada hari pertama di Sekolah Sinar Matahari.
Salah seorang murid kelihatan menangis pada hari pertama di Sekolah Sinar Matahari.

Guru Besar Sekolah Rendah Jerudong, Kluster 2, Dayang Khadijah binti Haji Gapar pula menyatakan bahawa tahun ini sekolahnya telah menerima seramai 42 orang murid pra sekolah, manakala itu kemasukan pelajar-pelajar dari Tahun 1 sehingga 6 ialah seramai 31 orang.

“Jumlah keseluruhan pelajar Sekolah Rendah Jerudong bagi tahun 2016 ialah 421 pelajar dengan jumlah guru yang ada pada masa ini iaitu 48 orang guru. Alhamdulillah, pihak sekolah juga telah menerima maklum balas yang begitu baik daripada para ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk bersekolah di sini,” katanya.

Beliau juga menyatakan harapan agar kerjasama daripada ibu bapa akan dapat lagi diteruskan pada masa akan datang terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak di pra sekolah yang baru memasuki sekolah tersebut dan pelajar-pelajar Tahun 6.

“Selain itu juga, saya berharap agar pihak sekolah dan saya sendiri dapat melihat peningkatan pencapaian akademik para pelajar pada masa akan datang di samping itu untuk melihat perubahan sikap dan disiplin pelajar untuk menjadi yang terbaik.”

Beliau juga menyeru agar masalah kedatangan para pelajar juga dapat diatasi terutamanya semasa waktu berhampiran dengan cuti sekolah di mana sesetengah pelajar didapati tidak hadir ke sekolah.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut, Dayang Rosinah binti Haji Ibrahim menjelaskan bahawa setakat ini pelajar-pelajar baru masuk ke sekolah tersebut ialah seramai 18 orang yang terdiri daripada Darjah Pra sehingga Tahun 6.

“Pada tahun 2016 ini, saya berharap agar pihak sekolah akan dapat meningkatkan lagi inisiatif-inisiatif untuk terus maju ke hadapan bagi SPN21 mengikut pencapaian sasaran Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak 82%,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA