Pelbagai reaksi terhadap hukuman penggantungan Blatter, Platini

Pelbagai reaksi terhadap hukuman penggantungan Blatter, Platini

ZURICH, 22 Dis (AFP) – Hukuman gantung lapan tahun ke atas pimpinan tertinggi bola sepak dunia, Sepp Blatter dan Michel Platini mengundang pelbagai reaksi.

Sesetengahnya merasakan ketua Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu terlepas daripada hukuman setimpal, manakala sebahagian lagi merasakan hukuman itu terlalu keras.

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Peter Velappan, yang memegang jawatan berkenaan ketika Asia menjadi tuan rumah pertama Piala Dunia di Korea Selatan dan Jepun pada tahun 2002, menganggap penggantungan itu seperti hukuman mati.

“Ini sangat keras, terutama buat Blatter kerana dia mengabdikan hidupnya untuk bola sepak dan FIFA,” kata Velappan.

“Sungguh malang skandal rasuah ini berlaku dan pada masa sama dia juga perlu dipersalahkan, tetapi lapan tahun adalah terlalu keras. Lapan tahun seperti hukuman mati.”

David Beckham yang juga menyuarakan pendapatnya ekoran penggantungan Sepp Blatter dan Michel Platini. - Reuters
David Beckham yang juga menyuarakan pendapatnya ekoran penggantungan Sepp Blatter dan Michel Platini. – Reuters

Velappan memuji usaha kedua-dua individu berkenaan dalam memajukan bola sepak Asia dan ia sepatutnya dipertimbangkan.

“Blatter dan Platini adalah personaliti bola sepak dan anda perlu menilai sumbangan mereka kepada permainan ini.

“Satu atau dua tahun sudah memadai. Ini satu hukuman yang tidak wajar. Mereka banyak menyumbang untuk AFC dan bola sepak.”

Bagaimanapun pendapat Velappan tidak senada dengan Presiden Liga Bola Sepak Sepanyol, Javier Tebas, yang mahu hukuman itu ditambah lagi.

“Lapan tahun, ia tidak memberi makna kepada saya. Penggantungan Platini berdasarkan fakta yang mereka tidak menghormati prosedur dalaman biasa FIFA.

“Melangkaui kawalan ekonomi adalah amat serius dan penggantungan ini sepatutnya memastikan mereka tidak lagi mempunyai kuasa dalam institusi sukan.

“Mereka tidak layak mendapat sokongan daripada dunia bola sepak dan ahli sukan,” kata Tebas.

Bagi ikon bola sepak Inggeris David Beckham, episod ini perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk melakukan perubahan kepada sukan bola sepak.

“Saya pasti akan berlaku perubahan besar dalam FIFA. Tidak kira bentuk rasuah yang terjadi di peringkat tertinggi, ia tetap tidak akan mengatasi kepentingan sukan ini,” kata Beckham.

ARTIKEL YANG SAMA