Pelbagai usaha dilakukan tangani masalah histeria

Pelbagai usaha dilakukan tangani masalah histeria

SEREMBAN, 11 Nov – Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menangani masalah histeria dalam segelintir kalangan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasoh 3, Jempol, kata Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Rusni Ab. Jalil. Beliau berkata antaranya memanggil Pejabat Kesihatan Daerah membuat pemeriksaan tahap kualiti makanan dan tempat penyediaan makanan apabila laporan menyatakan murid berasa pening sebelum kejadian histeria berlaku, bagaimanapun kualiti makanan dan kebersihan kantin disahkan dalam keadaan baik.

“Selain itu, pihak sekolah turut menggunakan khidmat rawatan alternatif dan kaedah Islam dari Jempol dan Segamat, Johor bagi mengatasi masalah ini namun masih belum berjaya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian histeria dalam kalangan murid di SK Pasoh 3 pada pagi hampir setiap hari sejak Ogos lepas sehingga kini sebagaimana disiarkan di muka depan akhbar Kosmo hari ini.

Rusni berkata pihaknya dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sentiasa memantau dengan rapi dari semasa ke semasa terhadap masalah berkenaan dan memberi kerjasama kepada mana-mana pihak mempunyai kepakaran bagi mengatasinya.

“Pihak kami memandang serius kejadian itu dan berharap masalah ini dapat diatasi segera bagi membolehkan murid di sekolah itu belajar seperti biasa,” katanya. – Bernama