Pelbagaikan kegiatan ekonomi

Pelbagaikan kegiatan ekonomi

Oleh Syahmi Hassan

 

pg01_160309_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Dalam keadaan ekonomi dunia dan negara yang paling mencabar ketika ini, terutamanya penurunan pendapatan kerajaan yang sangat signifikan, Jabatan Perdana Menteri sebagai ‘agensi memimpin’ (lead agency) akan terus mendukung hasrat untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi.

Untuk itu, Jabatan Perdana Menteri diperuntukkan belanjawan lebih $566 juta ($566,597,970.00) untuk kegunaan di bawah belanjawan baru berasaskan PPB (Programme and Performance Budgeting) berdasarkan ‘hasil’ (outcome) dan ‘fungsi utama (core function) jabatan bagi tahun kewangan 2016/2017, merangkumi gaji kakitangan, perbelanjaan berulang-ulang dan perbelanjaan khas.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada Mesyuarat Pertama daripada Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara pada hari ketiga hari ini. Menurut Yang Berhormat Pehin, Jabatan Perdana Menteri telah merangka cadangan belanjawan ini berasaskan empat prinsip utama iaitu Perkhidmatan Awam; Perekonomian dan Perdagangan; Undang-undang dan Kesejahteraan; serta Sosial, Sekuriti dan Hal Ehwal Antarabangsa.

Menurut Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman, satu peta jalan (roadmap) dalam bentuk Rangka Kerja Perkhidmatan Awam (Civil Service Framework) sedang dibentuk yang dihasratkan mencapai kecemerlangan terutama dalam memudah cara pertumbuhan ekonomi bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

Menyentuh mengenai Prinsip Perekonomian dan Perdagangan, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa dalam menangani impak daripada kejatuhan harga minyak global, Jabatan Perdana Menteri sedang melipatgandakan usaha untuk mempelbagaikan ekonomi, peningkatan produktiviti, penarikan pelaburan langsung asing, penyediaan iklim perniagaan yang kondusif dan penurunan kadar pengangguran. Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri melalui Jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing dan Penggunaan Minyak dan Gas bagi Pelaburan Industri Hiliran berusaha untuk meningkatkan daya saing dalam menarik pelabur asing ke negara ini.

Dalam menanai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Upacara Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-12 beberapa hari yang lalu iaitu bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Darussalam Enterprise (DARe) ditubuhkan, di samping penyediaan satu Pusat Dokongan Perniagaan atau Business Support Centre yang terletak di Bangunan Design and Technology (D&T Building), tambah Yang Berhormat Pehin. Selain itu, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE) juga giat memantau dan melaksanakan Rancangan Kemajuan Negara demi membangunkan perekonomian dan meningkatkan taraf kehidupan Negara. Dalam Prinsip Undang-undang dan Kesejahteraan pula, menurut Yang Berhormat Pehin, Jabatan Perdana Menteri terus memainkan peranan yang aktif dalam usaha melaksanakan reformasi terhadap proses-proses dan undang-undang yang mendukung pro perniagaan dalam usaha menjana ekonomi yang dinamik. “Alhamdulillah, usaha-usaha yang telah diambil telah menunjukkan peningkatan dalam tunjuk aras Ease of Doing Business (EODB). Antara kejayaan yang turut dicapai ialah dengan penubuhan Arbitration Centre, penubuhan mahkamah-mahkamah komersial, pelaksanaan Judicial Case Management System bagi memudah cara proses perundangan yang efisien dan berkesan kepada mendokong iklim pro-perniagaan di negara ini.”

Selain itu, usaha juga turut dilaksanakan dalam memeduli hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama golongan masyarakat yang memerlukan bantuan termasuklah dengan menjayakan pelaksanaan Projek Bantuan Perumahan yang dibiayai perbelanjaan sepenuhnya oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Kumpulan Wang Zakat.

Dari segi Prinsip Sosial, Sekuriti dan Hal Ehwal Antarabangsa pula, menurut Yang Berhormat Pehin, Wawasan Brunei 2035 turut memfokuskan kepada ‘strategi keselamatan’ dalam mendukung keselamatan masyarakat dan negara, iaitu melalui usaha memelihara dan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, dengan pendekatan secara ‘Whole-of-Nation Approach’.

Ke arah itu, pihak ‘stakeholders’ yang terdiri daripada pihak agensi keselamatan dan penguatkuasaan bertindak merangka strategi untuk memelihara kestabilan politik dan mempertahankan kedaulatan negara serta menghubungkan keupayaan pertahanan dengan keupayaan diplomatik dan juga persediaan negara dalam menangani ancaman keselamatan.

“Keselamatan dalam konteks ini merangkumi keselamatan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bagi bersama-sama memeduli dan memastikan perlindungan dan pencegahan daripada ancaman-ancaman keselamatan yang berpotensi menjejaskan kestabilan negara dapat dikekang. ”Selain itu, selaras dengan tertubuhnya Bahagian Antarabangsa di Jabatan Perdana Menteri, dasar luar negara yang jelas dan konsisten dalam melindungi kepentingan negara serta penyelarasan pelaksanaan komitmen antarabangsa negara juga turut menjadi tumpuan jabatan ini secara berterusan.

ARTIKEL YANG SAMA