Pelbagaikan program pendidikan

Pelbagaikan program pendidikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan dan khidmat bantu bagi memenuhi keperluan khas pelajar yang berbagai upaya, Unit Pendidikan Khas (UPK) terus bergiat aktif untuk memperkembangkan pengetahuan guru-guru di bidang Pendidikan Khas, teknik dan strategi pengajaran inklusif termasuk kepakaran dalam penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam bentuk teknologi bantuan.

Usaha itu amat penting bagi akses kepada maklumat dan persekitaran melalui ICT dalam kehidupan pelajar berkeperluan khas di era digital kerana ia berpotensi untuk memberi taraf dan peluang pembelajaran yang sama dengan rakan sebaya mereka.

“Kegagalan untuk menangani pembelajaran dan keperluan akses pelajar dengan IT boleh membawa kepada masalah lain seperti kemerosotan celik huruf serta melebarkan lagi jurang digital antara golongan individu-individu yang berkeperluan khas.”

Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor ketika berucap pada Majlis Penyampaian Pingat dan Sijil Peraduan Cabaran IT Tempatan (LITC) Bagi Pelajar-pelajar Menengah Berkeperluan Khas Senegara 2016 yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pendidikan, Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Haji Ali Yusri semasa berucap pada majlis berkenaan.
Haji Ali Yusri semasa berucap pada majlis berkenaan.

Beliau mendedahkan bahawa pada masa ini, terdapat kira-kira 2,000 orang pelajar berkeperluan khas seperti Autism Spectrum Disorder (ASD), Cerebral Palsy (CP), masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah komunikasi dan masalah pembelajaran, yang menuntut di sekolah-sekolah di negara ini di mana jumlah pelajar berkeperluan khas dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi terus meningkat.

Mengulas mengenai peraduan LITC yang dijalankan, beliau berkata, ia mampu mendedahkan kepada orang ramai bahawa sistem pendidikan inklusif di Brunei amat berkesan dan memang bersesuaian untuk pelajar berkeperluan khas.

“Oleh itu, dalam kesempatan ini, saya ingin menyeru sekali lagi kepada pihak-pihak terlibat khasnya ibu bapa, guru-guru, pihak sekolah dan pihak Unit Pendidikan Khas serta agensi-agensi kerajaan untuk sama-sama mendokong polisi pendidikan inklusif supaya para pelajar berkeperluan khas akan mampu menjadi warga negara yang produktif dan mampu memberikan khidmat kepada negara.”

Haji Ali Yusri juga menaruh harapan peraduan IT itu akan terus diadakan setiap tahun supaya kemahiran IT yang sedia ada pada individu pelajar berkeperluan khas akan dapat dihalusi dan dimantapkan.

“Melalui peraduan ini, pihak UPK secara tidak langsung boleh mengenali dan mendalami keperluan IT individu pelajar di dalam kelas pendidikan inklusif seperti perlunya penggunaan teknologi bantuan yang bersesuaian dengan masalah yang mereka hadapi.”

ARTIKEL YANG SAMA