Pele lelong koleksi barangan peribadi

Pele lelong koleksi barangan peribadi

LOS ANGELES, 11 Mac (AFP) – Legenda Brazil, Pele akan melelong lebih daripada 2,000 barangan sepanjang karier bola sepaknya termasuk tiga pingat Piala Dunia dan bola yang dijaringkan ketika dia meledak gol ke-1,000.

Rumah lelong berpangkalan di Beverly Hills, Julien dalam satu kenyataan berkata, ikon berusia 74 tahun itu – yang dikenali sebagai pemain terhebat dalam sejarah bola sepak – akan mendermakan sebahagian daripada kutipan kepada hospital kanak-kanak di Brazil.

Koleksi itu akan dilelong dalam satu majlis di London yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Jun ini.

“Saya akan mendermakan sebahagian daripada hasil koleksi ini kepada City of Santos, saya sudah memutuskan untuk membolehkan peminat dan pengumpul bagi memiliki sebahagian daripada sejarah saya,” kata Pele dalam satu kenyataan.

Jersi bola sepak nombor ‘10’, bola dan cincin kejuaraan antara 2,000 barangan Pele yang akan dilelong termasuk tiga pingat Piala Dunia. – Reuters
Jersi bola sepak nombor ‘10’, bola dan cincin kejuaraan antara 2,000 barangan Pele yang akan dilelong termasuk tiga pingat Piala Dunia. – Reuters

“Saya harap mereka menghargai artifak ini dan berkongsi cerita saya dengan anak-anak mereka dan generasi akan datang.”

Antara barangan yang menjadi tumpuan adalah salinan Trofi Jules Rimet yang dijangka mampu mencecah harga antara $400,000 sehingga $600,000.

Manakala piala kemenangan Pele yang dimenanginya semasa Piala Dunia pada tahun 1958, 1962 dan 1970 dianggarkan bernilai antara $100,000 sehingga $200,000.

Bola yang dijaringkan Pele apabila meledak jaringan ke-1,000 dalam kariernya pada November 1969 ketika perlawanan Santos dan Vasco da Gama di Stadium Maracana pula dianggarkan dilelong antara $40,000 sehingga $50,000.

ARTIKEL YANG SAMA