Pelengkap untuk para graduan

Pelengkap untuk para graduan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Program Perkembangan bagi Penuntut Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) diperkenalkan pada tahun lalu bagi melengkapkan para graduan berkenaan dengan pengetahuan dan pengalaman supaya mereka menjadi individu cemerlang sebagai generasi penerus dan pelapis untuk membarisi tampuk pemimpin yang akan menerajui Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, taklimat mengenai hasil dapatan daripada program yang disertai seramai 16 orang penerima biasiswa berkenaan telah disampaikan dalam majlis ramah mesra yang diadakan di The Horizons Seafood Restaurant, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Sultan’s Scholar.

Dalam Program Perkembangan berkenaan, seramai 14 orang menyertai program tersebut di Negara Brunei Darussalam pada 6 hingga 12 Ogos 2016 manakala dua orang penuntut telah mengikuti Program ‘8th Brunei-Singapore Defence Scholars 2016’ di Singapura pada 29 Julai hingga 5 Ogos 2016.

Sebahagian daripada mereka baru menamatkan pengajian, sebahagian lagi sedang bercuti dan sebahagian pula sudah bekerja.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai bersama para penuntut biasiswa Sultan’s Scholar.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai bersama para penuntut biasiswa Sultan’s Scholar.

Pada majlis itu, taklimat Program Perkembangan ‘8th Brunei-Singapore Defence Scholars 2016’ disampaikan oleh Dayang Rasyiqah Azimah binti Muhd Nuraiziz dan Dayang Muniratussafiah binti Haji Johar.

Manakala itu, taklimat Program Perkembangan Sultan’s Scholar 2016 disampaikan oleh Khong Yu Neng dan Hajah Andi Diinah Kiasatinah binti Haji Alliasim.

Pada tahun ini, program perkembangan ini dibahagikan kepada dua kumpulan, yang pertama terdiri daripada mahasiswi tahun pertama dan baru menerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar.

Kumpulan pertama berkenaan bergabung dengan penerima-penerima biasiswa Kementerian Pertahanan di mana mereka berpeluang untuk mengikuti program kepimpinan dan perkembangan di Singapura dan Negara Brunei Darussalam.

Kumpulan kedua pula terdiri daripada penerima biasiswa Sultan’s Scholar yang telah dan akan berkhidmat serta yang masih dalam pengajian di tahun kedua dan tahun akhir.

Kumpulan ini menjalani Bengkel Kesedaran Komuniti, Kepimpinan dan Pembangunan Pasukan, di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Di samping itu, kumpulan ini didedahkan kepada perkembangan sosioekonomi dan pembangunan negara melalui taklimat daripada pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Para peserta juga telah membuat lawatan ke Syarikat Minyak Brunei Shell, Brunei Methanol Company, Brunei National Petroleum Company dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

ARTIKEL YANG SAMA