Peletakan batu asas bangunan baru Makmal Diagnostik

Peletakan batu asas bangunan baru Makmal Diagnostik

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Majlis Peletakan Batu Asas bagi Bangunan Baru Makmal Diagnostik, Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) telah berlangsung, hari ini, di tapak pembinaan berkenaan yang berdepan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan, Muara.

Peletakan batu asas telah disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Haji Bakar.

Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di kementerian berkenaan, para pegawai dan kakitangan serta jemputan khas.

Bangunan baru berkenaan dibina di atas tapak seluas 2.12 hektar dan menelan belanja $4,083,078.67 di bawah Pelan Pembangunan Kebangsaan ke-9.

Pembinaannya telah pun bermula pada 10 November 2014 yang lalu, dan mengambil masa 18 bulan untuk siap.

Yang Berhormat Pehin menyempurnakan Peletakan Batu Asas Bangunan Baru Makmal Diagnostik.
Yang Berhormat Pehin menyempurnakan Peletakan Batu Asas Bangunan Baru Makmal Diagnostik.
Pemandangan kawasan tapak pembinaan makmal baru di atas tanah seluas 2.12 hektar.
Pemandangan kawasan tapak pembinaan makmal baru di atas tanah seluas 2.12 hektar.

Menurut kenyataan media, Pusat Perkhidmatan Haiwan Akuatik atau lebih dikenali dengan AAHSC merupakan pusat perkhidmatan makmal dan diagnostik Brunei Darussalam yang berkembang maju dalam industri akuakultur.

Pusat itu ditubuhkan pada tahun 2006, yang mana sebelum ini ia berada di bawah Jabatan Perikanan sehingga 2012, sebelum diambil alih oleh Divisyen Keselamatan Makanan, KPSSU.

Pada masa ini pusat berkenaan ditempatkan bersama-sama Jabatan Perikanan di Jalan Tanjung Batu, Muara dan dengan adanya bangunan baru tersebut nanti, pusat berkenaan akan dapat mengembangkan lagi kemudahan dengan pelbagai perkhidmatan diagnostik untuk industri akuakultur dan juga perkhidmatan makmal untuk industri perikanan.

ARTIKEL YANG SAMA