Pelihara akidah kita

Pelihara akidah kita

Oleh Anwar Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Akidah merupakan sesuatu yang penting dan sensitif dalam agama yang tidak boleh dipersendakan atau dipermainkan sama ada dengan hati, lisan atau perbuatan kerana tergelincir akidah boleh membawa kepada satu dosa besar dan murtad, jika tidak bertaubat.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini menekankan adalah satu kewajipan ke atas setiap umat Islam, menjaga dan memelihara akidahnya daripada sebarang perkara yang merosakkan dan membatalkannya. Jika terbatal akidah seorang Muslim, maka dia telah murtad, seterusnya jika mati tanpa sempat bertaubat, maka terhapuslah segala amal ibadat yang dilakukannya.

Menurut Khatib lagi, murtad disebabkan hati, lisan dan perbuatan termasuklah tidak mengakui dan mempercayai bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah S.W.T atau mengakui ada sekutu bagiNya, tidak mengaku atau syak tentang kebenaran kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada RasulNya, termasuk kita Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Murtad juga tidak syak tentang rasul-rasul atau nabi-nabi yang disebut dalam Al-Quran atau beriktikad ada nabi dan rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W, tidak mengakui atau syak berlakunya Hari Kiamat, syurga, neraka, timbangan amal, pahala,dosa, seksa dan apa-apa yang dinyatakan oleh Al-Quran dan hadis tentang kejadian-kejadian yang akan berlaku pada Hari Kiamat dan akhir sekali tidak mengakui atau syak tentang Qada dan Qadar Allah S.W.T dan bahawa segala baik dan buruk itu semuanya datang daripadaNya.

“Seorang Muslim itu boleh menjadi murtad apabila dia beriktikad dengan iktikad yang bercanggah dengan rukun iman dan akidah Islam yang telah pun disepakati umat Islam dan rukun iman wajib dipelajari, diketahui dan dipercayai oleh setiap umat Islam,” tambah khatib.

Manakala murtad perbuatan adalah seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan atau kepada makhluk, binatang atau yang lain, memakai dan bersujud kepada salib yang membawa kepada kekufuran.

Perbuatan lain yang juga boleh memurtadkan seseorang Muslim itu ialah menghina, memperolokkan, mengejek atau mempersendakan kitab Al-Quran atau hadis dan melemparkannya (Al-Quran) ke tempat yang kotor.

Manakala murtad yang disebabkan oleh percakapan di antaranya adalah sengaja berkata atau menunjukkan iktikad yang bercanggah dengan rukun iman dan akidah Islam yang telah sepakat umat Islam padanya seperti mengatakan bahawa Allah S.W.T itu bukan satu tetapi dua, tiga atau lain-lainnya, menolak perintah dan larangan Allah S.W.T yang telah disyariatkan seperti menolak kewajipan sembahyang fardu dan akhir sekali adalah sengaja memperolokkan, mengejek atau mempersendakan nabi, sifat dan larangan Allah S.W.T, janji Allah tentang syurga, neraka, para malaikat, kitab-kitab Allah, para rasul dan para nabi yang disepakati kerasulan dan kenabian mereka, Hari Akhirat serta qada dan qadarnya.

Khatib turut menitipkan nasihat agar umat Islam berhati-hati dalam membicarakan soal agama lebih-lebih lagi yang menyentuh tentang akidah Islam. Terdapat sesetengah orang menjadikan agama sebagai bahan jenaka. Jika perkara itu sampai ke tahap ke suatu tahap memperolok-olokkan agama, tidak syak lagi perkara itu boleh membawa kepada murtad.

ARTIKEL YANG SAMA