Pelihara keamanan dan kestabilan

Pelihara keamanan dan kestabilan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah pentingnya keamanan dan kestabilan untuk pembangunan di mana tanpa kedua-duanya itu, pembangunan tidak mungkin dilaksanakan.

Di samping itu, Baginda menekankan pentingnya sikap berani dan optimis di mana setiap orang perlu berani menjadi peneroka, di samping berfikiran terbuka dengan apa-apa yang diteroka itu.

“Kita memerlukan perpaduan dan keharmonian, kerana daripada kedua-duanya itulah akan lahir keamanan dan kestabilan. Keamanan dan kestabilan pula amat penting untuk pembangunan, sehingga tanpa keduanya itu, pembangunan tidak mungkin dilaksanakan,” titah Baginda bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, Tahun 2016, yang disiarkan di saluran radio dan televisyen seluruh negara, hari ini.

Baginda bertitah, “Inilah harga keamanan dan kestabilan itu. Seyogia kita semua sama-sama memeliharanya.”

Baginda menekan supaya keamanan dan kestabilan itu tidak boleh roboh walau apa pun keadaan kerana jika ia roboh, walau dalam keadaan kita makmur, maka kemakmuran itu tidak akan memberi makna apa-apa.

Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32. – Gambar Infofoto

“Apatah lagi di saat-saat ekonomi lembap, ia adalah lebih-lebih lagi diperlukan untuk mengimbangi keadaan.

“Kesejahteraan masih saja boleh diraih daripada keamanan, walaupun ekonomi global bermasalah,” titah Baginda lagi, “Dengan bermodalkan keamanan, kita masih saja ada peluang untuk memperbaiki keadaan, sama ada melalui usaha-usaha peningkatan ataupun setakat bertahan.

“Maksud Beta dengan bertahan di sini, ialah seperti langkah berjimat, sementara kita menunggu fajar baru ekonomi kembali pulih.”

Baginda bertitah menyatakan harapan setiap orang untuk perlu berani menjadi peneroka dan berfikiran terbuka dengan apa-apa yang diterokai mereka.

“Peneroka yang berani adalah individu yang hebat, walaupun yang diteroka itu cuma berskala kecil atau sederhana sahaja, seperti seorang pengusaha yang baru berlatih memulakan perusahaannya.

“Inilah yang kita perlukan. Negara sangat memerlukan orang-orang seperti ini. Manakala rakyat lebih berani menjadi peneroka, maka kesannya kepada kemajuan adalah positif, dan Hasil Keluaran Dalam Negeri Kasar juga boleh ditunggu untuk meningkat.”

Baginda bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara merdeka dan kita selaku rakyat dan penduduk dituntut untuk membebaskan diri daripada segala sikap yang merugikan.

“Di antara sikap merugikan itu ialah, suka berpeluk tubuh dan ketandusan semangat patriotik.” Baginda bertitah, “Sikap seperti ini, sepatutnya, tidak ada lagi dalam era merdeka kerana kemerdekaan itu sendiri merupakan perangsang atau penggerak ke arah lebih super dan lebih progressive, bukan lebih culas dan lemah.”

Terdahulu dalam titah Baginda, Baginda merakamkan perasaan gembira bahawa Generasi Berwawasan masih diteruskan sebagai tema Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 2016.

“Ini bersesuaian, sebagai sebuah negara yang berhasrat untuk terus maju, yang benar-benar memerlukan generasinya yang berwawasan. Satu soalan penting di sini ialah, apakah bentuk dan ramuan-ramuan utama Generasi Berwawasan itu?

“Pada hemat Beta, Generasi Berwawasan ialah mereka yang bijak menangani apa jua cabaran, dan menjadikan cabaran itu sebagai peluang-peluang atau oppotunities untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup bernegara.

“Hakikatnya, dunia ini sentiasa diasak oleh perubahan dan pergolakan, yang menjadikan semua negara termasuk juga kita tidak terlepas dari pelbagai cabaran.”

Baginda bertitah cabaran sangat berpotensi untuk membawa kepada perubahan kerana itu, Baginda bertitah supaya jangan takut kepada cabaran.

“Cuma, cabaran itu mestilah dihadapi dengan bijaksana. Kebijaksanaanlah yang menentukan corak perubahan kepada yang lebih baik.

“Rancangan-rancangan atau pelan-pelan tindakan, semuanya itu memerlukan kebijaksanaan. Tanpa kebijaksanaan, segala usaha boleh saja gagal atau tidak memuaskan.”

Baginda bertitah bahawa dalam merancang dan bertindak, ia juga memerlukan dasar yang jelas dan bukannya dilakukan sesuka hati sahaja.

“Dasar kita di negara ini ialah MIB. Maka semua rancangan dan tindakan itu mestilah berlandaskan MIB.

“Dasar yang kukuh dan sempurna mampu untuk memangkinkan pembangunan, di samping juga mampu untuk melahirkan masyarakat yang baik. Masyarakat yang baik adalah aset dan pasak bagi negara.

“Sifat-sifat masyarakat yang baik ialah seperti jujur, sabar, amanah dan baik hati. Daripada sifat-sifat inilah akan membuahkan suasana dan keadaan yang disenangi, iaitu kehidupan bersatu padu dan harmoni.”