Pelihara manuskrip Melayu

Pelihara manuskrip Melayu

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Bengkel Asas Memulihara dan Mentransliterasikan Manuskrip Melayu Tahun 2015 diadakan untuk memberikan kefahaman tentang peranan manuskrip Melayu sebagai warisan intelektual Melayu yang penting untuk dipelihara.

Kajian perlu dibuat mengenainya khusus bagi generasi belia selain mempromosikan penBORNEO kepada orang ramai, kata Pegawai Sejarah Kanan, Pusat Sejarah, Hajah Dayang Fatimah binti Haji Mohd Daud. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel Asas Memulihara dan Mentransliterasikan Manuskrip Melayu Tahun 2015 yang berlangsung di Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO), Berakas, semalam.

Sekumpulan 31 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para pelajar Universiti Brunei Darussalam telah berjaya mengikuti program tersebut yang diadakan selama tiga hari bermula dari 21 hingga 23 September 2015.

Menurut beliau lagi, bidang pemuliharaan dan mentransliterasikan khususnya manuskrip Melayu merupakan kerja berat dan rumit yang memerlukan kebijaksanaan serta kesabaran melakukannya supaya hasilnya tepat, jitu dan dapat dijadikan bahan rujukan da penulisan mengenainya.

Hajah Dayang Fatimah menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kursus.
Hajah Dayang Fatimah menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kursus.

Usaha penBORNEO telah mengorak langkah untuk memperkenalkan bahan manuskrip Melayu yang tersimpan kerana sumbangannya lebih cukup luas untuk dibuat kajian terhadap sejarah pembangunan bangsa, agama dan negara, ujarnya.

Beliau seterusnya menyatakan harapan agar program itu dapat membekalkan ilmu pengetahuan asas kepada para peserta melalui metodologi dan kaedah pemuliharaan dan mentransliterasikan manuskrip Melayu daripada pembentang kertas kerja dan pembengkel yang berkemahiran dalam bidang-bidang mengenainya.

Beliau juga berharap segala perolehan program itu dapat membuka minda dan pintu hati setiap peserta bagi memahami akan kepentingan manuskrip sebagai sumber sejarah yang perlu dipelihara.

ARTIKEL YANG SAMA