Pelihara sejarah demi warisan generasi masa depan

Pelihara sejarah demi warisan generasi masa depan

KOTA KINABALU, 29 Sept (Bernama) – Sejarah dan bukti sejarah perlu terus dipelihara untuk warisan generasi masa depan selain tarikan sektor pelancongan negeri, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, sejarah dan bukti sejarah itu merupakan khazanah warisan tidak ternilai yang perlu dihargai dan dijaga untuk kepentingan bersama.

“Masyarakat boleh menunjukkan rasa menghargai khazanah warisan itu dengan membantu memaklumkan kepada muzium Sabah untuk tindakan pemeliharaan atau pemuliharaan sekiranya menemukan peninggalan tapak bersejarah mahupun barang antik negeri.

“Di sabah ini, kita banyak tapak bersejarah tetapi kita dapati hilang begitu sahaja kerana tidak dipelihara. Warisan seperti tempayan juga banyak dieksport ke luar negara kerana masyarakat masih kurang sedar mengenai kepentingan dan nilai khazanah itu,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pameran khas ‘Dirgahayu TYT’ di Muzium Tamadun Islam dekat sini hari ini.

Pameran berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Menurut Masidi, sikap tidak peduli masyarakat menyebabkan banyak khazanah warisan Sabah hilang dan terjual. Sementara itu, beliau mahu warga pendidik dan sekolah terus memainkan peranan untuk menyemai rasa cinta pelajar terhadap sejarah dan khazanah warisan kerana mereka merupakan tonggak pemimpin masa depan.

“Guru sekolah boleh bawa pelajar datang berkunjung ke muzium, ini penting kerana generasi muda perlu diberi pendedahan dan kefahaman tentang warisan dan budaya sejarah kita,” katanya.