Peliharalah solat

Peliharalah solat

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan umat Islam agar memelihara sembahyang dan cara paling utama ialah melakukannya dengan konsisten pada awal waktu.

Di samping itu, titah Baginda, adalah juga menjadi perkara asas ialah melakukan ibadat dengan betul dengan menjaga segala rukun dan cara-caranya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dalam titah turut meminta pihak-pihak berkenaan untuk tampil membuat kajian-kajian terperinci mengenai pencapaian masyarakat khasnya penuntut-penuntut kita pada keseluruhannya termasuk para mahasiswa di pusat-pusat pengajian tentang mutu bacaan Al-Quran dan sembahyang mereka.

Dalam titah Baginda pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1437 Hijrah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan rasa sangat bersyukur kerana Allah Subahanahu Wata\ʼala terus mengurniakan kepada kita rahmatNya berupa nikmat sihat dan panjang umur, sehingga kita dapat menunaikan ibadat dengan penuh selesa.

“Dapat beribadat dengan selesa terutama ibadat sembahyang, tidak syak lagi adalah satu nikmat kerana bukankah sembahyang itu tiang agama dan malah kunci syurga. Tidak diragukan lagi orang yang mampu mendirikan sembahyang adalah orang yang beruntung.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1437 Hijrah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1437 Hijrah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

“Oleh itu, peliharalah sembahyang dengan cara yang paling utama memelihara sembahyang ialah melakukannya dengan konsisten pada awal waktu. Di samping itu, adalah juga menjadi perkara asas ialah melakukan ibadat dengan betul dengan menjaga segala rukun dan cara-caranya.

“Jika ini dapat dipenuhi dengan baik maka barulah sembahyang itu dapat dianggap sempurna. Jika tidak, maka selama itulah kita tetap dituntut untuk memperbaikinya.”

Menurut Baginda, jarang orang bercakap mengenai memperbaiki ibadah sembahyang, yang banyak diperkatakan ialah tentang membaiki bacaan Al-Quran.

Titah Baginda lagi, kedua-duanya harus diberi perhatian seimbang kerana bukan tidak pernah berlaku kekurangan atau kepincangan dalam perkara yang melakukan ibadah sembahyang. Hanya kita di Brunei belum ada statistik tentang sembahyang, tetapi di luar negara kita juga baca bahawa penuntut-penuntut bahkan mereka yang duduk di peringkat menengah pun masih ramai yang tidak atau belum sempurna sembahyang mereka.

“Apakah perkara seumpama ini tidak mungkin berlaku di negara kita? Siapakah yang boleh berkata tidak sedangkan kita belum lagi pernah mengkajinya atau belum pernah menyediakan sebagai statistik mengenainya.

“Beta sukacita mengharapkan supaya pihak-pihak berkenaan akan tampil untuk membuat kajian-kajian terperinci bukannya setakat kajian rambang mengenai pencapaian masyarakat khasnya penuntut-penuntut kita pada keseluruhannya termasuk para mahasiswa d pusat-pusat pengajian tentang mutu bacaan Al-Quran dan sembahyang mereka.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, perlu diingat kesalahan atau kekurangan di peringkat awal atau diperingkat kanak-kanak adalah lebih mudah untuk memperbaikinya daripada setelah umur tua, di mana kesalahan atau kekurangan itu telah menjadi sebati.

Sehubungan itu, bersempena dengan meraikan Sambutan Israk dan Mikraj ini, Baginda mengajak rakyat untuk sama-sama bermuhasabah diri, mana-mana yang masih kurang akan kita tambah dan apa yang belum disempurnakan akan kita sempurnakan dengan izin Allah.

ARTIKEL YANG SAMA