Pellegrini harap Kompany segera pulih

Pellegrini harap Kompany segera pulih

LONDON, 23 Dis (Reuters) – Pengendali Manchester City, Manuel Pellegrini berdoa ketua pasukannya Vincent Kompany segera sembuh daripada kecederaan dan kembali memperkuatkan jentera pertahanan The Citizens dalam usaha mereka kekal bersaing dalam perebutan juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bercakap kepada wartawan selepas pasukannya tewas 2-1 kepada Arsenal di Stadium Emirates semalam, kekalahan kelima mereka musim ini, Pellegirini berkata kehadiran semula pemain-pemain utamanya adalah penting jika City mahu memintas The Gunners serta pendahulu liga Leicester City.

“Kami perlu memperbaiki pasukan kerana kami dibolosi banyak jaringan. Kami berharap Vincent dapat segera kembali.

“Jika Vincent, David (Silva), Sergio (Aguero) bermain seperti biasa dalam setiap perlawanan saya fikir kami akan menjadi pasukan yang bersaing merebut gelaran juara liga,” kata Pellegrini.

Vincent Kompany menerima rawatan selepas cedera ketika Citizen tewas 1-0 kepada Leicester City, 13 Disember lalu. – Reuters
Vincent Kompany menerima rawatan selepas cedera ketika Citizen tewas 1-0 kepada Leicester City, 13 Disember lalu. – Reuters

Biarpun Aguero dan Silva merupakan watak utama City namun kehebatan Kompany dalam mengekang serangan lawan tiada tolok bandingnya.

City kini telah dibolosi 18 gol dalam sembilan perlawanan liga pada musim ini tanpa kelibat Kompany yang mengalami kecederaan kaki sejak September.

Ketika City beraksi bersama pemain Belgium itu skuad The Citizens cuma dibolosi satu gol daripada lapan perlawanan.

Kesilapan Eliaquim Mangala, yang bermula selaku pertahanan tengah bersama Aleksandar Kolarov semalam, memberikan Arsenal gol kedua sebelum tamat separuh masa pertama, sehingga menyebabkan City gagal bangkit.

“Saya fikir dalam beberapa aksi sebelum ini kami melakukan kesilapan secara kolektif. Hari ini (kelmarin) kami sudah memperbaikinya dan melakukan kesalahan secara individu,” kata Pellegrini.