Pellegrini kekal di Etihad

Pellegrini kekal di Etihad

MANCHESTER, 26 Mei (AFP) – Manuel Pellegrini menegaskan beliau masih akan mengendalikan Manchester City pada awal musim depan selepas juara yang ditumbangkan itu menamatkan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Southampton.

Kemenangan keenam berturut-turut memastikan anak buah Pellegrini menamatkan musim dengan bergaya dan ketika pengerusi Khaldoon Al Mubarak hadir di Eastlands kelmarin, pengurus City itu menafikan beliau mungkin berdepan perjumpaan sukar dengan majikannya sesudah melepaskan takhta kepada Chelsea dan gagal memenangi sebarang trofi musim ini.

“Saya bercakap dengan Khaldoon setiap minggu,” katanya. “Saya tidak perlukan mesyuarat khusus bersamanya.

“Sudah tentu apabila anda menamatkan musim anda perlu menganalisis apa yang dilakukan, apa kesilapan dan di mana perlukan peningkatan, tapi kami mempunyai hubungan yang amat bagus.”

Perlawanan itu menandakan perpisahan terhadap bola sepak Inggeris buat pemain tengah City, Frank Lampard, yang membuka tirai jaringan bagi gol ke-259 pada peringkat kelab.

Pellegrini memberikan bola semasa pasukannya menentang Southampton di Stadium Etihad semalam. – Reuters
Pellegrini memberikan bola semasa pasukannya menentang Southampton di Stadium Etihad semalam. – Reuters

Sergio Aguero, dengan gol ke-26 liga musim ini, melengkapkan kemenangan City pada lewat permainan, namun fokus lebih diberikan kepada Lampard, yang menyertai New York City FC selepas hampir 20 tahun beraksi dalam bola sepak Inggeris.

“Saya bercakap sebelum perlawanan dengan seluruh skuad dan menyatakan penting menamatkan musim di sini dengan kemenangan di depan penyokong sendiri,” ujar Pellegrini.

“Tapi ia juga penting buat Frank. Dia berhak diraikan perpisahan dengan semua orang, penyokong kami. Amat penting juga dia menjaringkan gol.”