Pellegrini lanjut kontrak bersama City

Pellegrini lanjut kontrak bersama City

LONDON, 7 Ogos (Reuters) – Manchester City menghadiahkan pengurusnya, Manuel Pellegrini keyakinan tambahan menjelang kempen baharu Liga Perdana Inggeris hari ini dengan menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun.

Lanjutan kontrak itu mengekalkan Pellegrini di Etihad sehingga 2017 bersama staf kejurulatihan, Ruben Cousillas, Xabier Mancisidor dan Jose Cabello.

“Kami gembira untuk mencapai persetujuan bersama Manuel Pellegrini yang sudah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan Manchester City sepanjang dua tahun pertamanya bersama kami dan kami tidak sabar untuk bertambah maju pada musim selepas ini,” kata Ketua Eksekutif City, Ferran Soriano.

Khabar angin tersebar luas musim lalu apabila Pellegrini dikatakan berkemungkinan dipecat seandainya City gagal mengekalkan kejuaraan EPL namun pengendali kelahiran Chile itu berkata pasukannya sudah mengharungi musim yang amat baik.

Pellegerini melanjutkan kontraknya bersama City untuk dua tahun lagi. – Reuters
Pellegerini melanjutkan kontraknya bersama City untuk dua tahun lagi. – Reuters

“Saya berbangga untuk menguruskan Manchester City dan saya amat gembira untuk bersetuju dengan kontrak ini,” kata Pellegrini yang menyertai City pada 2013.

“Saya memiliki kumpulan pemain yang amat bagus dan pasukan yang hebat untuk bekerja bersama di dalam atau di luar padang dan pada semua tahap di kelab ini.

“Saya ketika ini fokus kepada musim baharu dan yakin pasukan saya dan saya akan bertindak balas kepada sokongan tidak berbelah bahagi kepada kami daripada semua orang termasuk daripada kumpulan peminat kami yang menakjubkan.”

City akan memulakan kempen EPL menentang West Bromwich Albion di laman lawan pada Isnin ini sebelum bertemu Chelsea pada aksi pertama di laman sendiri, Etihad.

ARTIKEL YANG SAMA