Pellegrini terus serang Mourinho

Pellegrini terus serang Mourinho

LONDON, 4 Mei (AFP) – Pengendali Manchester City, Manuel Pellegrini meneruskan perang mulutnya dengan Jose Mourinho apabila menyatakan bahawa dia pasti tidak akan berasa puas jika menjuarai Liga Perdana Inggeris dengan corak permainan berhati-hati seperti dipamerkan Chelsea musim ini.

Pellegrini dan City gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka musim lalu selepas Chelsea kendalian Mourinho sah bergelar juara menerusi kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace, semalam.

“Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga musim ini. Kami juga melakukan perkara sama musim lalu tetapi dengan menjaringkan lebih banyak gol dan dalam gaya tersendiri.

“Ia penting untuk menghidangkan kepada para penonton corak permainan menarik. Itu yang saya katakan kami memenanginya musim lalu dengan cara yang berbeza.

Pellegrini mengarahkan pemainnya ketika menentang Hotspur di White hart Lane, semalam. – AFP
Pellegrini mengarahkan pemainnya ketika menentang Hotspur di White hart Lane, semalam. – AFP

“Saya tidak terlalu memikirkan jurang 13 mata yang membezakan kami dengan Chelsea musim ini. Kami menjaringkan 102 gol dalam saingan liga musim lalu.

“Musim ini kami kekal sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol dan itu sudut lebih penting, meneruskan kemenangan dengan cara berkenaan,” kata Pellegrini.

Manchester City kini di tangga kedua dengan 70 mata selepas menewaskan Tottenham 1-0 di gelanggang lawan, malam tadi menerusi jaringan tunggal Sergio Aguero, tiga mata mengatasi Arsenal yang bakal turun bertemu Hull, jam 3 pagi esok.