Pellegrini tidak risau

Pellegrini tidak risau

LIVERPOOL, 3 Mac (AFP) – Manuel Pellegrini enggan menerima kenyataan bahawa harapan Manchester City untuk melangkah ke Liga Juara-Juara terjejas selepas tewas 3-0 kepada Liverpool.

City memulakan musim sebagai pasukan pilihan untuk menjulang gelaran Liga Perdana dan satu tempat dalam kalangan empat pasukan teratas dianggap sebagai formaliti.

Walau bagaimanapun, momentum kejatuhan mereka agak deras dan menampakkan persembahan yang tidak bertenaga semalam apabila gol Adam Lallana, James Milner dan Roberto Firmino menghadiahkan Citizen kekalahan liga ketiga berturut-turut.

City mungkin mengagumkan dalam Liga Juara-Juara dan menewaskan Liverpool pada final Piala Liga Ahad lalu, tetapi dalam bahaya jatuh dari kelompok empat pasukan teratas.

Pellegrini meratapi kekurangan persediaan pasukannya akibat perjalanan jauh kembali dari Ukraine untuk Liga Juara-Juara Rabu lepas lepas dengan kemenangan pusingan pertama ke atas Dynamo Kiev dan kemudian Ahad lalu pula menang penentuan penalti untuk menjulang Piala Liga.

Reaksi Klopp (kiri) dan Pellegrini semasa pasukan mereka bertemu dalam aksi liga di Anfield kelmarin. – Reuters
Reaksi Klopp (kiri) dan Pellegrini semasa pasukan mereka bertemu dalam aksi liga di Anfield kelmarin. – Reuters

Tetapi bos City itu menerima hakikat bahawa kemenangan ke atas Aston Villa Sabtu ini amat penting jika mahu kekal dalam empat pasukan teratas. Citizen kini berkongsi mata dengan Manchester United di tempat kelima dan 10 mata di belakang pendahulu Leicester.

“Saya tidak memikirkan tentang gelaran atau layak ke Liga Juara-Juara. Apa yang penting sekarang ialah permainan yang akan datang,” kata Pellegrini.

“Kami perlu menang di laman sendiri kerana sudah tewas tiga perlawanan terakhir dalam Liga Perdana. Jadi itulah perkara paling penting. Kami perlu mendapatkan semula rentak kami dalam Liga Perdana dan mendapatkan mata sebanyak mungkin.

“Kami tewas tiga perlawanan terakhir tetapi kami mahu mencuba dan berada di puncak liga. Kita ada masa kurang daripada tiga hari untuk pulih sebelum beraksi jam 3 petang Sabtu ini. Kita akan lihat pasukan terbaik boleh bermula Sabtu ini.