Pellegrini yakin kemampuan Guardiola kendali City

Pellegrini yakin kemampuan Guardiola kendali City

SWANSEA, 16 Mei (AFP) – Manuel Pellegrini mungkin tidak pasti mengenai masa depannya namun yakin penggantinya, Pep Guardiola akan berjaya apabila mengambil alih jawatan pengurus Manchester City yang baharu.

Pasukan Pellegrini seri 1-1 di Swansea City semalam untuk membolehkan mereka memintas Manchester United di tangga keempat Liga Perdana Inggeris dan pusingan akhir kelayakan Liga Juara-Juara.

Hadiah perpisahan Pellegrini bermakna penggantinya dapat harapan untuk bersaing dalam kejohanan kelab elit Eropah itu apabila Guardiola tiba di Eastlands pada penutup musim selepas berlepas dari Bayern Munich.

“Saya tidak suka bercakap mengenai apa akan terjadi pada masa depan tapi saya yakin bahawa Guardiola akan menjadi seorang pengurus yang berjaya,” kata Pellegrini.

“Saya belum bercakap dengan Guardiola dan saya rasakan bukan keperluan untuk saya berbuat demikian. Dia tahu sebaiknya apa yang terjadi dengan kelab ini kerana dia mempunyai rakan di sini.

“Guardiola akan menerima sebuah kelab yang layak berada dalam Liga Juara-Juara dan saya rasa ia akan bertambah baik pada masa depan.

“Saya tidak fikir dia bernasib baik kerana dalam tempoh lima musim lalu pasukan ini sentiasa berada dalam Liga Juara-Juara dan amat penting untuk meneruskannya musim depan.