Peluang bagi wanita-wanita di ASEAN

Peluang bagi wanita-wanita di ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Puan Yang Terutama Nina Hachigian, yang buat pertama kali melawat Brunei, telah mengadakan pertemuan dengan lebih 15 orang wanita Brunei yang merupakan pemimpin dalam bidang masing-masing.

Dalam acara khas anjuran Kedutaan AS di Brunei Darussalam, baru-baru ini, dengan tema ‘Perbincangan dengan Wanita yang Memimpin’, Puan Yang Terutama dan wanita-wanita berkenaan berbincang cara-cara untuk mempromosikan peluang bagi wanita-wanita di ASEAN.

Menurut kenyataan Kedutaan AS, acara yang berlangsung di kediaman Duta Besar Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen, itu memberi peluang kepada Puan Yang Terutama untuk terlibat dengan wanita-wanita dari Brunei yang bekerja dalam sektor awam dan swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti akademik dan media.

Semasa perjumpaan itu, para peserta membincangkan beberapa isu seperti kesaksamaan, keperluan bagi lebih banyak model peranan wanita dan cabaran-cabaran meningkatkan peluang bagi wanita. Puan Yang Terutama telah menekankan faedah yang terakru kepada masyarakat apabila mereka melabur ke atas perempuan muda dan wanita.

Beliau dipetik sebagai berkata, “Ketidak-samaan merupakan isu-isu utama. Ia merupakan isu-isu yang berbaloi untuk ditangani, kerana banyak penyelidikan menunjukkan lebih ramai wanita mempunyai pendidikan dan menyertai tenaga kerja, masyarakat akan lebih baik.”

Para pemimpin wanita bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Nina Hachigian.
Para pemimpin wanita bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Nina Hachigian.

Puan Yang Terutama menambah, “Kita mempunyai program-program yang bagus seperti Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) yang berusaha untuk cuba mengharmonikan undang-undang di seluruh ASEAN menentang keganasan domestik supaya terdapat pendekatan tertumpu pada mangsa. Kita berusaha untuk menghapuskan pemerdagangan manusia, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak perempuan dan wanita.

“ASEAN baru sahaja meluluskan konvensyen peringkat tinggi menentang pemerdagangan manusia yang melangkaui standard antarabangsa. Persoalannya adalah, apa lagi yang boleh kita lakukan?” soal beliau.

Menurut kenyataan itu, Tuan Yang Terutama Craig Allen juga menyertai perbincangan berkenaan, di mana beliau menyatakan, “Seperti yang dikatakan Setiausaha Negara AS, John Kerry, masalah ekonomi, sosial politik paling mendesak di dunia tidak dapat diselesaikan tanpa penyertaan penuh wanita.

“Saya tegas bersetuju dengan kenyataan ini dan percaya bahawa adalah penting untuk melibatkan lebih ramai wanita dalam peranan membuat keputusan bagi memastikan suara mereka diwakili,” ujar beliau.

Semasa lawatan dua hari ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama telah mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman.

Beliau turut mengadakan junjung ziarah dengan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan juga bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng serta para pegawai kanan kerajaan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA