Peluang bangkit semula

Peluang bangkit semula

LIVERPOOL, 4 Okt (AFP) – Sepanjang bergelar pengurus Liverpool, Brendan Rodgers tidak pernah kecundang pada pertemuan Merseyside dan andai berjaya mengekalkan rekod berkenaan ketika bertemu Everton malam ini, cakap-cakap mengenai masa depannya di Anfield pasti terhenti seketika.

Kedudukan Rodgers semakin hangat diperkatakan apabila hanya menang sekali sepanjang lima pertemuan Liga Perdana serta dua keputusan seri yang tidak begitu meyakinkan di Liga Europa.

Andai kalah malam ini, ia adalah yang pertama sejak Oktober 2010 dan ia bakal menghangatkan lagi tekanan ke atas Rodgers menjelang tempoh rehat antarabangsa minggu depan.

Tetapi pengendali Ireland Utara itu berkata bahawa beliau percaya anak buahnya sudah semakin meningkat dan mereka perlu menang untuk memintas Everton yang kini menduduki tangga kelima Liga Perdana.

“Ini adalah musim keempat saya akan ke Goodison Park dan selama ini, kami bermain baik di situ. Ada kalanya kami tidak bernasib baik untuk menang tetapi kami tidak pernah tewas,” katanya.

“Kami tidak pernah tewas di situ sejak saya mengendalikan pasukan ini. Saya harap ia akan berterusan. Saya tidak sabar untuk melihat kesinambungan perkembangan pasukan.

“Ketika kami memulakan musim ini, kami mencatat kemenangan tetapi kami tidak mencipta banyak peluang. Kini semuanya sudah berubah dan kami sudah mula mencipta peluang menjaringkan gol.

“Justeru, kami sedar di mana kedudukan kami ketika ini. Kami mencipta peluang secara lebih kerap dan apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah menyempurnakan setiap peluang terhidang.”

Pemain yang baru dibeli, Christian Benteke berdepan masalah hamstring yang menghalangnya beraksi sepanjang tiga perlawanan terakhir tetapi malam ini, namanya juga belum tentu disenaraikan.

Begitupun, kehadiran semula Daniel Sturridge memberikan kekuatan baru terhadap jentera serangan Liverpool untuk pertembungan malam ini.