Peluang bawa pulang emas

Peluang bawa pulang emas

GOLD COAST, Australia, 20 Nov – Atlet perseorangan boling padang wanita Brunei akan berdepan atlet Australia bagi merebut pingat emas dalam perlawanan akhir Kejohanan Boling Padang Dunia Champion of Champions dalam perlawanan yang berlangsung Helensvale Lawn Bowl, di sini, hari ini.

Hajah Amalia binti Haji Matali akan bertemu Natasha Scott apabila kedua-duanya mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan beberapa pemain bertaraf dunia.

Dalam pusingan kalah mati, Hajah Amalia mengatasi Juara Sukan Commonwealth Glasgow 2014, Sophie Tolchard dari England dalam straight set 10-8, 7-3 untuk melayakkannya ke separuh akhir.

Hajah Amalia kemudian menentang Carmen Anderson dari Norfolk Island yang mana mempunyai rekod tanpa kalah, namun Hajah Amalia memecahkan rekod itu untuk mara ke perlawanan akhir.

Hajah Amalia (kanan) dan Abdul Rahman yang kini berada di Gold Coast, Australia.
Hajah Amalia (kanan) dan Abdul Rahman yang kini berada di Gold Coast, Australia.

Sementara itu, rakan senegara dalam perseorangan lelaki, Abdul Rahman Omar akan bersaing bagi merebut pingat gangsa selepas ditewaskan oleh Scott Thulborn dari Australia dengan mata 8-5, 9-7 pada separuh akhir.

Terdahulu Abdul Rahman menewaskan Frank De Vries dari Belanda dengan mata 9-5, 3-9, 5-0 di suku akhir.

Pencapaian tersebut setakat ini adalah rekod kejayaan terbaik dalam kejohanan di mana kedua-dua atlet negara mampu untuk mengecewakan para atlet dari negara-negara di mana boling padang adalah permainan tradisi mereka.