Peluang belajar di AS

Peluang belajar di AS

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar Oleh Siti Hajar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam akan menganjurkan pameran pengajian tinggi di AS pada 26 September ini di tingkat satu, Kompleks Membeli-belah The Mall, Gadong.

Penganjuran pameran itu dikongsikan bersama para pemberita pada sesi sidang media yang dihadiri oleh Setiausaha Kedua di Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, Edward Findlay, selaku Pegawai Perhubungan Awam kedutaan itu, di Starbucks Cafe, hari ini.

Pameran pendidikan dinamakan ‘Lets Go America!’ yang dibuka dari pukul 3 petang hingga 8 malam itu akan mengetengahkan peluang-peluang pengajian tinggi serta program pengajian dan pertukaran seperti Program Biasiswa Fulbright dan Program Inisiatif Pemimpin Remaja Asia Tengara (YSEALI).

Menurut Findlay, pameran itu merupakan peluang keemasan kepada orang ramai untuk mengetahui lebih mendalam tentang AS dan pelbagai program yang disusun oleh kedutaan berkenaan.

Edward Findlay (kiri) sedang menerangkan mengenai Pameran ‘Lets Go America!’ kepada para pemberita.
Edward Findlay (kiri) sedang menerangkan mengenai Pameran ‘Lets Go America!’ kepada para pemberita.

‘Lets Go America!’ akan menyediakan khidmat nasihat secara percuma mengenai prosedur dan cara memohon melanjutkan pengajian di universiti-universiti Amerika Syarikat, serta bagaimana untuk memanfaatkan program seperti YSEALI yang menawarkan kursus kepimpinan bagi golongan remaja di Negara Brunei Darussalam dan dari rantau ASEAN,” katanya.

Pameran itu juga akan menyediakan maklumat dan panduan mengenai maklumat yang perlu diketahui oleh seseorang yang ingin mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat, termasuk maklumat tentang aspek kebudayaan, makanan dan hiburan. Pameran ‘Lets Go America!’ diterajui oleh Bahagian Perkhidmatan Akademik, Jabatan Negara AS, EducationUSA yang bertanggungjawab untuk mempromosikan pengajian tinggi di AS kepada pelajar di serata dunia.