Peluang belajar di Australia

Peluang belajar di Australia

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi Australia merupakan salah satu daya tarikan pelajar dari seluruh dunia, termasuk Negara Brunei Darussalam bagi melanjutkan pelajaran mereka.

Australia juga sesuai bagi mereka yang ingin membuat penyelidikan dalam bidang pembelajaran mereka, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Norman Mercer berkata demikian ketika melancarkan Pameran Hari Maklumat Australia yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Menurutnya lagi, dalam usaha meningkatkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke sana, perbincangan telah diadakan di antara institusi pengajian tempatan dan Australia untuk program berkembar.

Beliau turut mengalu-alukan pelajar dari negara ini untuk melanjutkan pelajaran dan melakukan penyelidikan mereka di sana.

Tuan Yang Terutama ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Tuan Yang Terutama ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Para pengunjung mengambil kesempatan untuk mengetahui pembelajaran yang ditawarkan di universiti-universiti di Australia.
Para pengunjung mengambil kesempatan untuk mengetahui pembelajaran yang ditawarkan di universiti-universiti di Australia.

Pameran anjuran Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam disertai oleh universiti-universiti berprestij dari Australia, diadakan selama sehari bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, di mana para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian diberikan peluang untuk mengetahui lebih dekat lagi pelbagai kursus dan program yang ditawarkan oleh universiti-universiti dari Australia.

Antara pilihan kursus yang diketengahkan termasuk bidang perubatan, kesihatan, kewangan, IT, pembinaan, komunikasi, rekaan dan seni, rekaan dan teknologi, industri kreatif serta kejuruteraan.

Di antara universiti-universiti yang mengambil bahagian dalam pameran itu ialah Curtin University, Deakin University, Flinders University, Griffith University, Macquarie University, Monash University, Queensland University of Technology, Swinburne University of Technology, The University of Adelaide, The University of Melbourne, The University of Newcastle, The University of Western Australia, University of Wales, University of Queensland, University of Western Australia dan Australian National University.

Para pengunjung juga diberi peluang untuk mengenal pasti kursus dan program yang bersesuaian bagi mereka dan mengetahui secara terperinci lagi mengenai kualiti sistem pendidikan Australia.

Pameran itu dipercayai mampu menjadi platform yang baik bagi para pelajar untuk mengetahui dan menghubungkan pilihan kerjaya mereka dengan laluan tepat melalui pemilihan kursus serta mengetahui mengenai keperluan kemasukan, kekuatan program yang ditawarkan dan kesesuaian dengan kerjaya masa depan.

Hari Maklumat Australia dibukakan kepada orang ramai dan ia adalah percuma. Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Austrade di talian 2236922 atau e-mel kepada josie.abdullah@austrade.gov.au.

ARTIKEL YANG SAMA