Peluang belajar di Kanada

Peluang belajar di Kanada

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Suruhanjaya Tinggi Kanada di Brunei Darussalam sekali lagi mengadakan Jelajah Pendidikan Musim Luruh Kanada-ASEAN yang berlangsung di pejabat suruhanjaya tinggi berkenaan, di sini, bermula kelmarin hingga esok.

Jelajah berkenaan disertai oleh institusi-institusi tinggi di Kanada termasuk Concordia University dari Monteral, Dallhouse University Halifax dan Northern Alberta Institute of Technology dari Edmonton, Alberta.

Bagi mengongsikan kebaikan melanjutkan pengajian ke Kanada, satu sidang media telah diadakan di pejabat suruhanjaya tinggi berkenaan hari ini, yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marina B. Laker serta wakil ketiga-tiga universiti yang mengikuti jelajah berkenaan.

Puan Yang Terutama semasa sidang media itu berkata, penduduk Kanada sangat mementingkan pendidikan dan telah membangunkan sistem pendidikan kelas pertama dengan standard tinggi.

“Kanada terus membelanjakan lebih banyak ke atas pendidikan (sebagai peratusan peratus KDNK) berbanding kepada purata OECD (Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi).

Pesuruhjaya Tinggi Kanada (dua kanan) bergambar ramai bersama wakil-wakil dari universiti pada sidang media tersebut.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada (dua kanan) bergambar ramai bersama wakil-wakil dari universiti pada sidang media tersebut.

“Perbelanjaan tahunan bagi setiap pelajar lepasan menengah di Kanada adalah antara yang paling tinggi daripada semua negara-negara OECD dan G20,” ujar Puan Yang Terutama, sambil menambah ijazah, diploma dan sijil Kanada diiktiraf di seluruh dunia sebanding dengan yang diperoleh di Amerika Syarikat atau negara-negara Komanwel.

Menurut QS, yang menyenaraikan universiti-universiti di seluruh dunia, Montreal, Toronto dan Vancouver masing-masing menduduki tempat ke-8, ke-9 dan ke-12 dalam taraf Bandar Pelajar Terbaik QS 2015.

Kualiti standard pendidikan dan kehidupan di Kanada adalah antara yang tertinggi di dunia, tetapi kos kehidupan dan yuran tuisyen bagi pelajar antarabangsa adalah rendah berbanding di negara-negara G7 lain.

Untuk keterangan lebih lanjut mengenai pendidikan di Kanada, orang ramai bolehlah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Kanada di Brunei atau layari laman web www.brunei.gc.ca.

ARTIKEL YANG SAMA