Peluang belajar memasak

Peluang belajar memasak

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 1 Nov – Bahagian Pendidikan Lanjutan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), buat pertama kalinya mengadakan Kursus Pendek Masakan Tahun 2015 bagi Daerah Belait yang bermula hari ini sehingga penghujung bulan Disember.

Kursus yang diadakan setiap Ahad, bermula pukul 2:00 hingga 5:00 petang itu dibukakan untuk penyertaan orang ramai terutama sekali belia. Ia diadakan di Kelas Masakan, Sekolah Rendah Muhammad Alam, di sini.

Resipi pertama pembelajaran hari ini ialah Masakan Kacang Gajus Berempah dan Puding Tauhu Buah-buahan Campur, yang dikendalikan oleh tenaga pengajarnya, Dayang Hadijah binti Haji Mohamed.

Menurut Dayang Hadijah, kursus jangka pendek itu dibukakan kepada orang ramai dengan bayaran hanya $30 bagi warga tempatan dan $40 bagi bukan warga tempatan.

Kelas kedua akan diadakan pada Ahad depan (8 November) dengan pembelajaran membuat Karipap Bakar dan Kuih Kusui Durian, seterusnya pada 22 November dengan pembelajaran membuat Saupau Bakar dan Kek Batik Istimewa.

pg03_151102_c

Kursus Pendek Masakan anjuran Bahagian Pendidikan Lanjutan Institut Pendidikan Teknikal Brunei kini dibukakan bagi penyertaan orang ramai diadakan di Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.
Kursus Pendek Masakan anjuran Bahagian Pendidikan Lanjutan Institut Pendidikan Teknikal Brunei kini dibukakan bagi penyertaan orang ramai diadakan di Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.

Sementara itu, pada 4 Disember diteruskan dengan pembelajaran membuat Kek Lapis Prune Ice Cream dan Almond Coc Mini Rol, pada 11 Disember belajar memasak Kek Kukus Madu Buah-Buahan Istimewa dan Puding Roti Gula Melaka, manakala itu, kursus terakhir pada 27 Disember adalah bagi kelas membuat Kek Bakar Masam Manis Coklat Rice dan Kek Marble.

Menurut Dayang Hadijah lagi, kursus antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada orang ramai yang berminat, bukan hanya khusus kepada kalangan suri rumah tangga.

Secara tidak langsung, tambah beliau, ia dapat mendedahkan serta menjinakkan orang ramai kepada bidang keusahawanan apabila mereka sudah dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh melalui kursus tersebut.

“Resipi-resipi yang diajarkan adalah yang popular dan sentiasa diminati orang ramai dan yang menjadi permintaan orang ramai di pasaran, selain kursus ini juga dihasratkan untuk membantu kalangan remaja yang masih mencari pekerjaan serta membantu suri rumah tangga untuk menambah sumber rezeki keluarga,” ujarnya.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi talian 2422493 semasa waktu bekerja.

ARTIKEL YANG SAMA