Peluang belia sertai Kanu Polo

Peluang belia sertai Kanu Polo

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Penyertaan sebuah pasukan Kanu Polo di Kejohanan Kanu Polo Asia pada Oktober tahun lalu merupakan pembuka jalan dan perintis kepada perkembangan sukan yang baru diceburi itu untuk membentuk sebuah pasukan yang berkemahiran di masa akan datang.

Perkara itu ditegaskan oleh jurulatih kayak yang juga merupakan Naib Presiden Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam, Majer (B) Mohd Talip bin Haji Mohd tahir ketika ditemui semasa mengulas mengenai kanu polo di negara ini.

Menurutnya meskipun usaha dan langkah penubuhan pasukan akan memakan masa yang lama apatah lagi dengan cabaran lain seperti latihan dan keperluan lain, tetapi baginya mereka mampu untuk menubuhkan pasukan bagi penyertaan kejohanan itu setelah kejayaan pertama sebelum ini.

“Pada penyertaan pendedahan itu kita terpaksa menentang pasukan yang hebat seperti Malaysia dan Singapura yang sememangnya terkenal dengan sukan ini di rantau ini dan gergasi Asia seperti Iran dan Jepun, namun pada saya ia adalah pengalaman yang sangat berharga,” tegasnya lagi.

Setakat ini katanya pemilihan masih terbuka dan pemain lama akan diserapkan memandangkan mereka mempunyai kemahiran berkayuh dan menjaringkan gol serta mempunyai pendedahan awal namun peluang masih terbuka kepada orang ramai

Mejar (B) Mohd Talip  ketika ditemu bual Media Permata.
Mejar (B) Mohd Talip ketika ditemu bual Media Permata.

Mengulas mengenai kriteria peserta pula, menurutnya, “Belia sangat dialu-alukan untuk menyertai sukan ini dan pada saya sukan tersebut meskipun baru namun kebanyakan daripada pada belia sudah terdedah dengan asas berkayak.”

Menurutnya apa yang penting dalam kanu polo adalah kawalan bola dan para pemain perlu sentiasa siap sedia melalui ketahanan fizikal dan mental.

Bagi yang berminat untuk mencuba sukan ini boleh menghubungi di talian 8865646 atau datang terus ke Pusat Belia bagi sebarang pertanyaan.

Setakat ini latihan diadakan di beberapa tempat seperti di Pusat Belia, Sungai Damuan dan pantai serta kolam yang terpilih, ujarnya.

“Sukan ini dibukakan kepada semua peringkat umur. Komitmen kami begitu mendalam untuk mendatangkan jurulatih tetap selaku pembimbing dalam banyak acara sukan Kanu polo dan disiplin lainnya.” tegasnya.

ARTIKEL YANG SAMA