Peluang bermain sukan orang kaya

Peluang bermain sukan orang kaya

YAMOUSSOUKRO – Seribu orang kanak-kanak miskin di Ivory Coast telah diberikan satu peluang yang unik iaitu belajar bermain golf, dan seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun, Jessica, menyukai idea itu.

“Saya sangat menyukai golf dan impian saya adalah menjadi seorang pemain antarabangsa golf dan bekerja dengan Bank Dunia,” kata budak perempuan itu, yang datang dari sebuah daerah yang miskin, Dioulabougou, Yamaoussoukro.

Dengan memakai baju T dan seluar hitam, Jessica merupakan salah seorang daripada 120 orang kanak-kanak dalam aliran pertama pemain golf baru bagi President Golf Club, yang biasanya ditempah oleh penduduk Ivory Coast yang kaya dan elit.

Lawatan itu sebahagian daripada projek ‘Golf untuk Semua’ yang menyaksikan akademi golf STL mengembara ke seluruh Korhogo, antara kawasan termiskin negara tersebut, dan sekitar daerah-daerah Yamassoukro serta anak-anak yatim bagi mencari pemain yang berpotensi.

Anak-anak petani, pekerja ladang dan kilang teruja apabila mereka dibawa ke padang golf yang dibina oleh Felix Houphouet-Boigny, bekas presiden yang telah meninggal dunia, sebagai sebahagian daripada kempennya untuk mengubah kampung halamannya menjadi sebuah bandar antarabangsa.

Matlamat projek itu adalah untuk membebaskan kanak-kanak daripada kemiskinan melalui golf, tidak kira peringkat sosial mereka. – AFP
Matlamat projek itu adalah untuk membebaskan kanak-kanak daripada kemiskinan melalui golf, tidak kira peringkat sosial mereka. – AFP

Jurulatih golf, Henrik Lundqvist (kiri), memerhatikan salah seorang kanak-kanak membuat pukulan. – AFP
Jurulatih golf, Henrik Lundqvist (kiri), memerhatikan salah seorang kanak-kanak membuat pukulan. – AFP
Projek ‘Golf untuk Semua’ itu menyaksikan akademi golf STL mengembara ke seluruh Korhogo, antara kawasan termiskin negara tersebut, dan sekitar daerah-daerah Yamassoukro bagi mencari pemain yang berpotensi. – AFP
Projek ‘Golf untuk Semua’ itu menyaksikan akademi golf STL mengembara ke seluruh Korhogo, antara kawasan termiskin negara tersebut, dan sekitar daerah-daerah Yamassoukro bagi mencari pemain yang berpotensi. – AFP

Membebaskan daripada kemiskinan

Direka oleh bekas pemain profesional Wales, Dave Thomas, padang golf itu mempunyai keluasan melebihi 225 ekar rumput dan pokok-pokok kehijauan.

“Matlamatnya adalah untuk membebaskan mereka daripada kemiskinan melalui golf dan memberikan peluang kepada semua kanak-kanak di Ivory Coast, tidak kira peringkat sosial mereka,” kata seorang jurulatih golf yang turut sama menjayakan projek itu, Jean-Claude N’Da.

Rakan kongsi utama ialah jurulatih golf Henrik Lundqvist, yang telah menghabiskan masa empat bulan mengembara ke seluruh Sweden untuk mengumpulkan 20 tan kelengkapan bagi didermakan untuk projek itu, dan seseorang yang percaya bahawa mengajar kanak-kanak merupakan cara yang terbaik untuk memperkenalkan sukan itu di Afrika.

“Kami akan melatih pemain-pemain muda Ivory Coast agar mereka boleh menjadi pemain terkenal dalam sukan golf,” kata pemain golf warga Sweden itu.

“Ivory Coast eksport pemain bola sepak seperti Didier Drogba, jadi tidak ada sebab mereka tidak melakukan perkara yang sama dalam sukan lain,” kata seorang warga Belgium yang mengetuai akademi STL, Francis Hollogne.

Rangsangan untuk kewangan

Golf merupakan salah satu cara yang Houphouet-Boigny, meninggal dunia pada tahun 1993, mahukan Yamoussoukro letakkan dalam peta.

Pada mulanya, ia hanyalah sebuah bandar pertanian kecil di mana bekas presiden itu dilahirkan Yamoussoukro hanya dijadikan sebagai ibu negara pada tahun 1983, menggantikan Abidjan, bandar terbesar Ivory Coast dan juga pusat ekonominya.

“Houphouet-Boigny mahu menjadikan Yamoussoukro sebagai tarikan pelancong melalui sukan golf dan mempromosikannya sebagai satu projek: bermain di bawah terik matahari dan melarikan diri daripada musim sejuk Eropah,” kata pakar pelancongan Ivory Coast, Tom Aboudramane Coulibaly.

Yamoussoukro juga menjadi tuan rumah Terbuka Ivory Coast di President Golf Club, yang telah diadakan antara 1980 dan 1991, dengan Hadiah Felix Houphouet-Boigny. Bintang-bintang antarabangsa seperti Gary dan Briton Ian Wooosnam telah bermain di sana. Bekas presiden AS, Richard Nixon, juga memcubanya.

Seperti sektor-sektor lain, sukan itu telah dipinggirkan disebabkan perang saudara dan pertelingkahan politik yang telah memecahbelahkan Ivory Coast sejak 2002 sehingga 2011. Kini ia mempunyai peluang untuk kembali membuat pukulan. – AFP