Peluang bertemu pembikin filem ‘Primajaya’

Peluang bertemu pembikin filem ‘Primajaya’

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Para penggemar filem akan berpeluang bertemu dengan pembikin filem Adam Groves di Freshco, Batu Satu, esok (27 Ogos) pada jam 8 malam.

Acara berkenaan adalah bersempena dengan ulang tahun ke-10 Adam Groves sebagai pembikin filem dan filem akan datangnya ‘Primajaya’.

Menurut kenyataan Freshco, Adam Groves yang nama penuhnya Awang Mohd Adam bin Mohd Ali, memulakan kerjayanya dalam pembikinan filem menerusi videografi.

Beliau memulakan Produksi Visual Dimensions yang mengkhusus dalam videografi perkahwinan, liputan-liputan video acara dan sebagainya.

Apa yang membezakan beliau dengan syarikat-syarikat perkhidmatan video lain adalah dengan menyediakan sentuhan seperti filem dalam karyanya.

Beliau terus belajar dan suka mempelajari kemahiran-kemahiran baru serta kreatif, jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila beliau terus menceburi bidang pembikinan video setelah mendapat pengetahuan teknikal yang mencukupi dalam videografi.

Hasilnya, beliau telah menghasilkan siri popular ‘Break’, menurut kenyataan itu lagi.

Pada acara itu nanti, Adam akan berkongsi pengalamannya mengenai kejayaan, cabaran-cabaran dan aspirasi sebagai pembikin filem. Beliau juga akan berkongsi pengetahuan dan tip-tip dengan mereka yang berminat dalam bidang perfileman dan ingin menjejaki langkahnya.

Mereka yang berminat untuk menjadi pembikin filem atau sekadar penggemar filem boleh menyuarakan soalan kepada beliau.

Turut diketengahkan pada acara itu nanti adalah Primajaya, filem tempatan mengenai seorang remaja yang menjadi wira untuk menentang jenayah. Ia merupakan filem cerita pertama Adam Groves dan dijadualkan memasuki panggung wayang pada 15 September.

ARTIKEL YANG SAMA