Peluang besar dalam krisis sisa di Asia Pasifik

Peluang besar dalam krisis sisa di Asia Pasifik

BANGKOK, 20 Okt – Krisis sisa di Asia Pasifik menyediakan peluang besar dari segi sumber tenaga dan bahan kitar semula yang berguna, kata Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia Pasifik (ESCAP).

Ia berkata antara 52 dan 65 peratus daripada sisa pepejal yang dihasilkan di kawasan bandar yang dihuni kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, terdiri daripada sisa organik, dan di sesetengah bandar, angkanya melonjak setinggi 80 peratus.

Laporan itu yang disediakan bersama oleh Waste Concern, sebuah perusahaan sosial yang berpangkalan di Bangladesh, berkata sisa makanan dan sisa taman boleh dikitar semula menjadi kompos atau diubah menjadi biogas dan digunakan sebagai sumber tenaga.

Di samping itu, bahan-bahan bukan organik yang boleh dipilih untuk dikitar semula terdiri daripada kertas, plastik dan kaca, menyumbang antara 26 dan 33 peratus sisa pepejal perbandaran di negara terlibat dalam laporan itu.

Laporan bertajuk ‘Menghargai sisa, Mentransformasikan Bandar’, mengumpul keputusan dan pengajaran daripada program serantau sepanjang enam tahun yang dikendalikan oleh ESCAP yang bermatlamat mengemukakan cadangan konkrit untuk kerajaan menangani krisis sisa yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Bahagian PBB dan Setiausaha Eksekutif ESCAP Dr Shamshad Akhtar berkata sisa pepejal kini merupakan cabaran kritikal yang dihadapi bandar dan bandar raya di rantau ini yang memerlukan tindakan serius.

“Jika pendekatan sisa kepada sumber dan aktiviti berkaitan diguna pakai, bandar dan bandar raya di seluruh Asia dan Pasifik akan menjadi lebih bersih, lebih hijau, lebih mampan, sihat dan lebih inklusif,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA